MENONTON perlawanan bola sepak dapat dapat memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan manusia, menurut satu kajian baharu.
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh BetVictor dan Jabatan Bioperubatan Leeds, para penyelidik melihat kesan menonton perlawanan bola sepak terhadap 25 peminat Leeds United berumur antara 20 hingga 62 tahun.
Para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu peminat sejak 0 hingga 10 tahun, 20 hingga 30 tahun dan lebih 40 tahun lalu.
Mereka dipantau secara fisiologi dan psikologi ketika perlawanan menentang Brentford (dalam persekitaran terkawal) dan dua perlawanan playoff separuh akhir menentang Derby (di stadium).
Para penyelidik memerhatikan tiga faktor utama dalam kajian itu iaitu kadar degupan jantung, tekanan darah dan mood.
Tekanan darah diambil beberapa hari sebelum setiap perlawanan untuk memberikan bacaan asas, sejurus sebelum perlawanan, pada separuh masa dan juga serta-merta selepas wisel penamat.
Para peserta juga dipantau dari segi mood mereka dan ditemu bual selepas setiap perlawanan sebagai sebahagian daripada analisis psikologi.
Penyelidik mendapati peserta menunjukkan ‘tekanan positif' daripada kadar denyutan jantung yang tinggi, serupa dengan melakukan senaman kardiovaskular secara sederhana.
Menonton pasukan kesayangan menang juga menyebabkan tekanan darah menurun, satu lagi manfaat kesihatan yang positif.
Dari segi psikologi, menurut penyelidik, kemenangan dapat meningkatkan mood peserta untuk tempoh 24 jam, manakala kekalahan mengakibatkan mood rendah dalam tempoh berpanjangan.
Kajian itu mendedahkan bahawa peminat bola sepak berkemungkinan ketagih terhadap perasaan 'khayal’ yang dikaitkan dengan kemenangan.
Berbanding dalam persekitaran terkawal, menonton bola sepak secara langsung di stadium menyebabkan peningkatan degupan jantung peserta sebanyak 11 peratus.
Menurut salah seorang penyelidik, Dr Andrea Utley, peminat berasa bersemangat menonton perlawanan bola sepak sehingga meningkatkan kadar denyutan jantung.
"Adalah jelas bahawa peminat bersemangat mengenai perlawanan (bola sepak) dengan kadar denyutan jantung meningkat semasa perlawanan ke tahap yang sama seperti ketika berjalan pantas (biasanya 20% lebih tinggi daripada kadar jantung berehat).
"Satu gol yang dijaringkan mana-mana pasukan menyebabkan peningkatan kadar denyutan jantung dalam masa yang ringkas secara purata sebanyak 20 denyutan seminit daripada purata perlawanan.
“Menyokong pasukan anda dalam perlawanan bola sepak memberikan senaman kardiovaskular yang sederhana bergantung kepada keputusan perlawanan, serta rangsangan atau kemerosotan psikologi,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram