Album Cardi B kekal dalam carta Billboard selama 200 minggu


  • Hiburan
  • Selasa, 08 Feb 2022

CARDI B merupakan penyanyi rap wanita pertama dan satu-satunya yang mempunyai tiga lagu dengan anugerah Diamond. — Agensi

PENYAYI rap, Cardi B baru sahaja menambah satu lagi pencapaian terbaharu dalam kariernya menerusi album studio pertamanya, Invasion of Privacy.

Menurut Chart Data, Invasion of Privacy merupakan album pertama Cardi B yang kekal di carta Billboard 200 selama sekurang-kurangnya 200 minggu.

Invasion of Privacy Cardi B pada asalnya memasuki carta pada 2018 dan menduduki tangga pertama ketika itu.

Album tersebut juga memegang beberapa rekod industri muzik lain.

Antaranya, pada 2019, album tersebut diiktiraf sebagai album rap wanita paling banyak distrim di Spotify.

Cardi B juga menjadi penyanyi rap wanita pertama yang menerima Anugerah Grammy dan membawa pulang trofi pada 2019 untuk Album Rap Terbaik menerusi album Invasion of Privacy.

Selain itu, Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA) menganugerahkan kesemua tiga belas lagu dalam Invasion of Privacy dengan anugerah Emas, Platinum dan Multi-Platinum.

Ia sekali gus menjadikan Cardi sebagai artis wanita pertama dalam sejarah yang mencapai kejayaan itu.

Album Invasion of Privacy turut mengandungi single bertaraf anugerah Diamond iaitu "Bodak Yellow" dan "I Like It" duet bersama Bad Bunny dan J Balvin.

Cardi B juga mendapat plak anugerah Diamond untuk gandingannya bersama Maroon 5 dalam lagu "Girls Like You".

Dia adalah penyanyi rap wanita pertama dan satu-satunya yang mempunyai tiga lagu dengan anugerah Diamond. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram