TIDAK ada mana-mana pendekatan kesihatan awam dalam dunia yang menyatakan seseorang itu perlu dijangkiti varian Omicron Covid-19 untuk membina imuniti kelompok kepada wabak tersebut.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pendekatan itu juga masih belum dibuktikan kesahihannya.
"Tidak kira varian apa. Omicron ke, Delta, Alpha dan Beta, jangan sengaja nak dapat Covid-19 sebab yang pertama kita tidak tahu kesan wabak itu.
"Yang kedua kita tidak tahu kesan ‘long’ Covid-19. Hari ini mungkin kita kata Omicron ini lebih ‘mild’ daripada Delta jadi kenapa tidak semua dijangkiti dengan Omicron supaya kita dapat imuniti kelompok dan sebagainya. Itu tidak terbukti lagi. Kita tahu Omicron ‘milder’ tetapi ia tidak bermakna yang anda perlu dijangkitinya,” katanya.
Beliau sebaliknya menasihati masyarakat untuk tidak ‘sengaja’ menjangkitkan diri dengan Covid-19 dan terus mendapatkan dos penggalak.
Khairy mengulas berhubung laporan berita pada Khamis yang menyatakan varian Omicron itu mampu membina imuniti kelompok dalam masyarakat disebabkan keadaan transmisinya yang tinggi.
Khairy berkata demikian selepas melancarkan program Inisiatif Mengakhiri Aids Melalui Kerjasama Pintar Kerajaan-badan bukan kerajaan atau secara ringkasnya GO-NGO Model KK 2.0 Peringkat Kebangsaan, Klang, Selangor pada Ahad.
Beliau berkata, 99 peratus daripada mereka yang dijangkiti Omicron di negara adalah pada kategori satu dan dua.
Mengulas berhubung statistik jumlah jangkitan Covid-19 harian yang semakin meningkat, Khairy berkata masyarakat diminta supaya tidak menilai keadaan wabak berkenaan berdasarkan statistik itu sahaja.
Jelasnya, ia juga perlu dilihat dengan jumlah pesakit positif Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU), yang disifatkannya masih terkawal.
Khairy berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menjangkakan akan berlaku peningkatan kes harian pada bulan Januari dan Februari depan, susulan pergerakan masyarakat sejak perayaan Krismas, cuti sekolah, sambutan Tahun Baharu, perayaan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina.
"Jadi jangkaan KKM dalam tempoh masa sebulan dua ini, kita akan melihat sedikit peningkatan tetapi selagi kemasukan ke hospital, ICU berada dalam paras terkawal dan kadar kematian masih lagi menurun, jadi kita masih lagi dalam keadaan terkawal,” katanya.
Beliau berkata, keadaan di Selangor juga masih terkawal walaupun negeri itu setiap hari merekodkan jumlah kes tertinggi.
"Antara sebab (kes tinggi di Selangor) adalah kemasukan pintu antarabangsa terletak di negeri itu di mana (pengembara) berdaftar di negeri ini, walaupun bukan orang Selangor,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram