
BILA sebut sahaja nama penyanyi, Aweera, perkara yang terlintas adalah berkenaan dengan sikap dan perangainya yang teruk.
Malah, kontroversi melibatkan sikapnya itu juga yang dilihat menjadi antara sebab mengapa penyanyi bersuara lantang itu gagal mendapat tempat di dalam industri seni.
Perkara itu diakui oleh Aweera sendiri namun bagi penyanyi itu, dia menganggap apa yang berlaku itu adalah satu perkara yang telah berlalu.
"ALLAH zahirkan kita kaki untuk terus berjalan ke depan. Mustahil untuk kita berjalan ke belakang.
"Jadi kita kena move on. Setiap manusia boleh berubah dan saya pun minta semua penyokong untuk mendoakan saya," katanya kepada Majoriti.
Diterima kembali selepas menampilkan persembahan yang baik di pentas Gegar Vaganza, Aweera berkata, rasa takut dan fobia sentiasa ada pada dirinya.
Apa yang boleh dilakukannya jelas Aweera, adalah dengan bertawakal dan teguhkan niat dalam bidang seni.
"Saya mengaku saya insan yang lemah. Tapi kita belajar daripada kesilapan.
"Alhamdulillah yang sentiasa memberi semangat kepada saya adalah ibu bapa dan semua penyokong. Itu tulang belakang saya," katanya sambil berterima kasih kepada Aweerian's Army FC yang baru ditubuhkan pada bulan Mac 2021.
Ditanya mengenai dirinya yang kini bergerak solo sedangkan sebelum ini dia mempunyai pelbagai band, jelas Aweera, dia yang mahu bergerak solo.
"Mentaliti di Malaysia ini bila dah tampil dengan terlalu banyak band, mesti dituduh ada masalah.
"Sebenarnya tidak kerana itu adalah cara untuk meneruskan karya seni. Tiada halangan sebenarnya untuk berkarya.
"Sekarang saya cuba pula untuk bergerak solo dan sedang dalam proses merakamkan single terbaharu yang akan keluar tidak lama lagi," katanya.
Mengulas mengenai single terbaharunya, jelas Aweera, masih terlalu awal untuk dia bercerita tetapi genrenya adalah balada rock. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram