SERAMAI 233 anggota Unit Tempur Ringan (LSF) telah bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya rusuhan kecil, sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, anggota LSF termasuk 15 anggota wanita itu akan ditempatkan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini.
Beliau berkata, penugasan anggota LSF terbabit akan bermula pada hari penamaan calon Sabtu ini hingga hari pengundian pada 12 Mac depan.
"Mereka akan turut melakukan tugasan rondaan ketika tempoh berkempen bagi memastikan setiap kawasan berada dalam keadaan terkawal selain sebagai pasukan terawal tiba di lokasi sekiranya berlaku rusuhan kecil.
"Anggota LSF ini antara 3,000 anggota dan pegawai polis yang bertugas sepanjang proses PRN Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Kursus Asas LSF Kontinjen Johor 2022 di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri dekat Muar, Johor pada Khamis.
Ditanya mengenai bantuan anggota tambahan sepanjang PRN Johor, Kamarul Zaman berkata, bantuan daripada kontinjen-kontinjen lain sememangnya ada namun untuk penamaan calon Sabtu ini, jumlah anggota sedia ada sudah mencukupi.
"Kontinjen Johor juga telah menubuhkan beberapa pasukan pemantau bagi memastikan kelancaran PRN terutama untuk memantau semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Semua pihak diminta supaya mematuhi setiap peraturan yang dikeluarkan pihak berkuasa termasuk pasukan polis supaya ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram