Album Dolla laku keras, 24 jam 'sold out'


  • Hiburan
  • Khamis, 24 Feb 2022

TABBY menganggap sambutan luar biasa terhadap mini album itu satu kejayaan cukup manis dan bermakna buat mereka.

TIDAK dinafikan, ramai yang sebenarnya takut untuk mengeluarkan album sejak beberapa tahun yang lalu disebabkan faktor penjualan yang tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

Sebaliknya, ramai yang lebih gemar menggunakan platform digital sebagai medium untuk menjual karya mereka sehinggakan sentimen untuk menyentuh secara fizikal karya seorang penyanyi seakan makin berkubur.

Namun, berbeza bagi Dolla yang mengambil risiko untuk tampil menjual album baharu mereka dan hasilnya, album bejudul Dolla: Mini Album itu laku keras hingga habis terjual dalam tempoh masa 24 jam.

Menariknya, Dolla yang dianggotai Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya cuma merancang untuk lancarkan 500 unit album pada awalnya tetapi ditambah kepada 500 unit lagi ekoran sambutan luar biasa peminat setia kumpulan terbabit.

Menurut anggotanya Sabronzo, percaturan melancarkan album selepas kejayaan di platform muzik digital sentiasa menjadi impian utama mereka juga. Baginya, album berbentuk fizikal pastinya lebih istimewa untuk dimiliki peminat mereka.

“Kami sentiasa bersyukur dengan kejayaan karya-karya kami di platform digital. Sokongan tidak berbelah-bagi diberikan peminat sangat menyentuh hati kami dan tentunya mahu cari inisiatif lain untuk terus menghargai mereka,” katanya.

Tabby pula berkata sambutan luar biasa terhadap mini album itu satu kejayaan cukup manis dan bermakna buat mereka.

"Album ini adalah bukti usaha keras kami sejak Dolla ditubuhkan dan selayaknya dikongsikan kepada peminat. Kami amat terharu atas kesungguhan mereka terus menyokong termasuk sanggup membeli album kami ini,” katanya.

Apa yang menarik, album itu turut mengandungi buku foto serta poskad individu setiap anggotanya yang dilihat menjadi antara sebab mengapa mendapat sambutan yang baik daripada peminat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

hiburan, dolla, album, bad, Sabronzo, Tabby, Angel, Syasya, mini album