
SEJAK dari dulu lagi aliran muzik tempatan terpecah kepada dua iaitu arus perdana (mainstream) dan underground.
Ada yang berpendapat memulakan kerjaya muzik di aliran underground lebih ikhlas dan begitulah sebaliknya.
Tidak pernah melalui mana-mana fasa underground, penyanyi rap, Madrizal mendedahkan yang dia hampir dipukul sekumpulan rappers underground ketika namanya mula menjadi sebutan.
Menurutnya, kejadian itu berlaku pada 2015 ketika dia muncul dengan single pertama berjudul Budak Baru Nak Up yang mendapat sambutan hangat dahulu.
"Perkara itu berlaku kerana ada yang tidak berpuas hati disebaban kemunculan saya secara tiba-tiba dan mendapat sambutan sedangkan yang lain sudah lama dalam underground.
"Ada yang tidak puas hati dan mula nak pukul saya. Bukan sahaja dalam kalangan rappers, tetapi pengikut underground ketika itu juga ada yang menghantar mesej kebencian kepada saya.
"Sebenarnya saya bukan baru dalam dunia hip hop ketika itu kerana saya sudah lama mengikut dan bersama-sama dengan Cat Farish tetapi mungkin ada yang tidak tahu," katanya kepada Majoriti.
Menurut Madrizal, kebanyakan mereka rasa tidak puas hati dan mengatakan yang lagunya tidak sedap tetapi masih menjadi pilihan hingga menjadi pihak produksi untuk dijadikan lagu latar drama.
Malah kata Madrizal, dia sendiri yang berusaha untuk berjumpa dengan pihak produksi bagi mempromosikan lagunya dan tidak dibantu sesiapa.
Untuk rekod, setakat ini, Madrizal sudah menghasilkan enam buah single dan kebanyakannya menjadi pilihan sebagai lagu tema drama dan filem.
Terbaharu, dia tampil dengan single berjudul Mamasita pada tahun lalu namun menurutnya, lagu itu gagal mendapat tempat ekoran pandemik Covid-19 yang menyekatnya untuk melakukan publisiti lagu itu.
Dalam pada itu, Madrizal juga memberitahu yang dia kini giat mengusahkan perniagaan kedai gunting rambut serta menjual Mad's Pomade.
"Perniagaan dah mula sejak 2015 dan kini saya sudah mempunyai dua cawangan iaitu di Seri Kembangan, Selangor dan Mainroad, Jalan Ampang, Kuala Lumpur," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram