1 daripada 20 rakyat Malaysia senasib dengan Muhammad Haziq


  • Sihat
  • Khamis, 03 Feb 2022

TALASEMIA seperti yang dihidap Muhammad Haziq (kanan) adalah penyakit keturunan yang diwarisi daripada ibu atau bapa. — Gambar hiasan

WARTAWAN cilik, Muhammad Haziq Mohd Asyraf yang menjadi perbualan rakyat Malaysia di sebalik video tular penemuan seekor ular sawa di Pasar Pagi Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah baru-baru ini sebenarnya penghidap talasemia.

Muhammad Haziq, 12, disahkan menghidap penyakit itu pada usia lima tahun dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani secara berkala.

Talasemia adalah kumpulan penyakit yang menghalang badan daripada menghasilkan jumlah darah yang mencukupi dan berkualiti.

Pengamal perubatan, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman menerusi satu perkongsian di Facebook berkata, talasemia adalah penyakit keturunan yang diwarisi daripada ibu atau bapa.

Katanya, talasemia disebabkan oleh perubahan terhadap gen yang mengawal penghasilan hemoglobin.

"Talasemia bukan berjangkit melalui pemindahan darah, udara, air, sentuhan fizikal, hubungan seksual ataupun oleh kekurangan zat makanan," katanya.

Arisman berkata, terdapat dua jenis talasemia iaitu talasemia major (pesakit talasemia) dan talasemia minor (pembawa) dengan 1 daripada 20 orang rakyat Malaysia adalah pembawa gen penyakit itu.

"Masalah yang berlaku pada talasemia major adalah sel darah merah mereka hanya boleh hidup dalam beberapa minggu berbanding sel darah normal iaitu selama empat bulan.

"Oleh sebab itu mereka ini perlu terima transfusi darah setiap beberapa minggu yang ditetapkan. Kekurangan sel darah hemoglobin menyebabkan kekurangan oksigen dalam setiap sel badan," katanya.

Tanda-tanda awal pada kanak-kanak yang menghidap talasemia:

- Kelihatan pucat walaupun pada masa lahir kelihatan normal

- Cepat letih dan gelisah

- Kulit, mata dan mukosa kelihatan kekuningan (jaundice)

- Kurang selera makan

- Kembung perut akibat pembengkakan hati dan limpa

- Perubahan pada pembentukan tulang muka

- Kurang darah yang teruk boleh menyebabkan sakit dada dan sesak nafas

Cara nak sahkan diagnosis talasemia?

- Ujian darah dengan disokong sejarah dan pemeriksaan fizikal

- Penyakit talasemia ini adalah seumur hidup. Begitupun dengan teknologi perubatan dan ilmu perubatan yang kian berkembang, penyakit ini dapat dirawat dan mampu menjadikan kualiti hidup si pesakit seperti normal semula. Dengan syarat mereka patuh pada ubat dan arahan doktor pakar.

Bolehkan talasemia ini dielakkan?

- Boleh. Elak dengan pengesanan awal pembawa serta mengelakkan perkahwinan antara pembawa talasemia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram