Pesan ibu penguat semangat Zoey Rahman


  • Hiburan
  • Jumaat, 28 Jan 2022

ZOEY berpuas hati apabila kerja kerasnya selama ini membuahkan hasil.— The Star

KATA-KATA semangat daripada ibu tercinta merupakan penguat kepada selebriti, Zoey Rahman dalam mengejar cita-cita meskipun pernah beberapa kali gagal dalam perniagaan.

Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Abdul Rahman, 37, mendedahkan dia pernah menangis di hadapan ibu, Azizah Ibrahim gara-gara produk jualannya itu tidak mendapat sambutan.

"Ramai tak tahu sebelum saya terkenal dengan perniagaan sekarang ini, saya pernah buat pelbagai bisnes lain lagi pada 2016.. saya pernah jumpa mak mengadu dan menangis sebab tak ada orang beli baju yang saya jual, bayangkan stok bertimbun di pejabat.

"Saya bawa stok baju itu dan jual di Terengganu, saya buka booth jualan di sana. Sebelum itu mak saya memang ada jual tudung di bazar Ramadan, jadi saya dapat bantu dia berniaga sekali... ada orang tanya saya tak malu ke lelaki jual tudung? Bagi saya tak perlu malu sebab kita buat benda betul, nak bantu keluarga!

"Alhamdullillah, selepas melalui pelbagai dugaan, akhirnya hari ini saya dapat mengecapi kejayaan atas semangat daripada ibu! Saya ingat lagi pesanan mak... butakan mata dengan halangan di depan dan pekakkan telinga dengan kata-kata cacian. Itulah penguat untuk saya terus bangkit!" katanya.

Dalam pada itu, pengasas produk kosmetik Mika Series ini mengakui berpuas hati apabila kerja kerasnya selama ini membuahkan hasil sekali gus dapat membalas semula jasa ibu dan ayahnya.

"Dalam perniagaan ni tak boleh cepat putus asa... mungkin awalnya agak berliku tapi hujungnya pasti ada kejayaan.

"Tapi ingatlah walaupun dah berjaya macam mana sekali pun, keluarga jangan lupa sebab mereka kunci kejayaan dan tulang belakang kita.

"Saya sendiri sebelum ini banyak kali gagal dan apabila saya beritahu ibu dan bapa saya berjaya capai matlamat, mereka orang paling happy mendengar berita yang kita kongsi itu," ujarnya.—Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

zoey rahmna, mika series, ibu, ayah, jasa, perniagaan