PERNAH gagal empat tahun lalu ketika tampil dengan single pertama berjudul Takkah Ini Cinta, pelakon dan bekas bintang Akademi Fantasia, Ziha mengakui enggan gagal buat kali kedua.
Menurut Ziha, ketika itu dia terlalu terburu-buru untuk memiliki single pertama tanpa mempersiapkan dirinya terlebih dahulu.
"Waktu itu saya rasakan sudah cukup bersedia, sedangkan sebenarnya belum cukup kuat daripada segi nyanyian dan publisiti.
"Tapi saya keluarkan juga single dan gagal mendapat sambutan. Ditambah pula dengan kerjaya lakonan, orang semakin lupa yang saya adalah penyanyi.
"Jadi kali ini saya tidak mahu terburu-buru lagi. Sebagi persediaan, saya turut mengikuti kelas vokal intensif selama empat minggu sebelum tampil dengan single baharu," katanya.
Bercerita mengenai single terbaharunya berjudul Adat Kasih, Ziha berkata, lagunya itu bergenre pop tradisional dan ada sebab mengapa dia memilih genre itu.
Jelasnya, pendedahan awal dan latar belakang keluarga yang meminati lagu irama tradisional dan zapin menjadi faktor dia memilih lagu berkonsepkan pop tradisional itu.
"Irama tradisional cukup dekat dengan jiwa kerana saya dilahirkan di Johor Bahru, Johor dan latar belakang keluarga yang menggemari irama tradisional serta zapin turut menyuntik minat saya terhadap irama tradisional sejak kecil lagi.
"Namun, bagi membolehkan Adat Kasih diterima ramai dan bersesuaian dengan cita rasa pendengar masa kini, saya mengambil langkah menggabungkan elemen pop bersama tradisional.
"Saya tahu bukan mudah untuk mendapatkan lagu yang bersesuaian, oleh itu saya dan suami mengkaji betul-betul selama dua tahun sebelum terlahirnya single ini.
"Kami memilih Aubrey Suwito sebagai komposer kerana yakin dengan kredibiliti dan juga kemampuannya. Pengalamannya yang banyak kali bekerjasama dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga membuatkan kami yakin dia mampu memberi apa yang terbaik," kata Ziha. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram