Selepas tiga tahun 'sepi', Piala Sultan Azlan Shah kembali


  • Podium
  • Isnin, 24 Jan 2022

PIALA Sultan Azlan Shah akan kembali selepas tiga tahun tidak diadakan. — Facebook

SETELAH hampir tiga tahun ‘menyepi’, saingan Piala Sultan Azlan Shah akan kembali memeriahkan arena sukan hoki tanah air pada 15 hingga 25 November depan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan memaklumkan, tarikh penganjuran itu telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah ketika wakil mereka melakukan kunjungan hormat ke atas baginda di Istana Hinggap Perak, Kuala Lumpur pada Isnin.

Kunjungan hormat ke atas baginda diketuai Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal; Timbalan KHM, Prof Datuk Dr S. Shamala serta Presiden Persatuan Hoki Perak (PHA), Mohd Sayuti Abd Samat.

"Kunjungan hormat tersebut bertujuan mendapatkan perkenan Sultan Nazrin bagi penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2022," kata kenyataan itu.

Selain penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2022, Subahan dalam kunjungan tersebut turut memaklumkan perkembangan dan perancangan dibuat KHM kepada baginda sepanjang 2021.

Kali terakhir Piala Sultan Azlan Shah berlangsung adalah pada 2019 manakala edisi 2020 ditangguh ke 2021, namun akhirnya dibatalkan susulan pandemik Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram