
SELEBRITI dan pengacara sensasi, Azwan Ali memberitahu akan ada sesuatu yang bakal berlaku dalam rancangan terbaharu Awesome TV, Mic On yang bakal bersiaran pada 28 Januari 2022.
Menurutnya, dia dan Mas Idayu adalah 'musuh' depan kamera yang mana semua sudah maklum dia sering 'bergaduh' dengan ikon dangdut itu.
"Di Malaysia ada beberapa artis sahaja di Malaysia yang memang depan wartawan kita akan bergaduh iaitu Mas Idayu dan Micheal Ang.
"Tapi Mas Idayu ini tidak simpan hati, dia tahu saya macam mana dan saya memang target ada satu benda yang saya mahu lakukan, saya tidak boleh beritahu tetapi saksikan sahaja program itu nanti," katanya kepada Majoriti pada Majlis Pelancaran program Mic On musim kedua di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Khamis.
Menurut Azwan lagi, tiada siapa yang tahu apa yang dia lakukan termasuk penerbit dan dia percaya 'rancangannya' itu tidak akan menyinggung mana-mana pihak.
Diminta supaya 'tone down' dan lebih jantan untuk program Mic On musim kedua, Azwan memberitahu dia akan menjadi dirinya sendiri.
"Tiada arahan dari pihak produksi untuk saya 'tone down', mereka tidak kisah asalkan program meletop tetapi mereka ada meminta supaya penampilan saya lebih 'jantan'," ujarnya.
Program Mic On terbitan Awesome TV merupakan rancangan pencarian bakat yang menggabungkan elemen nyanyian dan muzik dalam satu program.
Bagi musim kedua, Azwan merupakan wajah terbaharu yang bakal menjadi hos bersama pelawak Issey Fazlisham. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram