PAKAR kesihatan menyarankan agar orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan sebelum mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.
Menurut seorang doktor veterinar, Nurul Syakirah menerusi hantaran di Facebook miliknya, pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan bagi memastikan status kesihatan individu berkenaan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini selepas mengambil dos penggalak.
Beliau turut berkongsi pengalamannya sebelum ini sewaktu mengambil dos penggalak.
"Sewaktu dapat notifikasi dos penggalak, saya menghubungi doktor sakit puan untuk mengesahkan sama ada saya sesuai atau tidak untuk mengambil vaksin tersebut selama berhari-hari sehingga saya mendapat jawapan.
"Kebetulan saya juga ada mengambil darah sebelum itu, jadi saya berkeras untuk tahu keputusannya.
"Makanya, saya berpendapat bahawa sebelum diberikan vaksin, kita perlu memastikan diri kita memang sihat," katanya.
Jelasnya lagi, Covid-19 merupakan penyakit yang sangat baharu dan mempunyai banyak ketidaktentuan berhubung wabak tersebut.
"Para doktor dan pakar bidang imunologi pun tak akan mampu meramalkan setepat mungkin berkenaan virus serta penyakit ini.
"Tetapi saya turut percaya bahawa perkara sebegini iaitu kesan sampingan vaksin juga tidak seharusnya diambil ringan," menurutnya lagi.
Terdahulu, Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memberi saranan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) agar memandang serius kesan sampingan dos penggalak kepada individu yang mungkin tidak sesuai.
Saranan itu dikongsikan menerusi Instagram miliknya berikutan dakwaan ayah beliau mengalami gejala muntah dan lemah selepas mengambil dos ketiga vaksin Covid-19.
Susulan itu, KKM menjelaskan akan meneliti dakwaan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram