Antara keinginan selera dan kesihatan


  • Sihat
  • Rabu, 05 Jan 2022

KADAR penghidap diabetes dalam negara masih tinggi. — Gambar hiasan

PASTI ramai yang berdepan dengan situasi sebegini - perasaan berbelah bahagi sama ada mahu memenuhi keinginan selera atau mendahulukan kesihatan.

Ini yang sering berlaku kepada Nor Athirah Zainol, 37, setiap kali mendengar keinginan ibunya yang menghidap diabetes untuk menikmati teh tarik yang menjadi minuman kegemarannya setiap hari.

Ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa apabila memikirkan permintaan tersebut, terutama apabila ibunya merajuk sehingga kadangkala membawa kepada pergaduhan selepas permintaannya tidak dilayan.

"Mungkin bagi orang lain ini adalah isu remeh... tapi untuk saya dan adik-beradik yang berhadapan dengan ahli keluarga sakit diabetes, ini menjadi satu tekanan kepada kami.

"Kami adik-beradik dalam dilema, takut dilabelkan sebagai anak derhaka kalau tidak memenuhi permintaan ibu, tapi pada masa sama bimbang dengan diabetesnya yang sebelum ini pernah mencecah 27 mmol/L bacaan paras gula dalam darah sehingga dimasukkan ke wad,” kata penjawat awam itu baru-baru ini.

Realitinya, isu ini tidak hanya melingkari warga emas tetapi turut dihadapi generasi muda. Misalnya kawan saya sendiri Keme yang sudah berbuih mulut menasihati rakan baiknya Syiq, agar berhenti mengambil minuman manis secara keterlaluan.

Tidak mahu rakannya sejak zaman belajar itu menghidap diabetes, Keme jenuh memberikan pelbagai nasihat, tetapi Syiq tetap meneruskan tabiat buruknya dengan setiap hari menikmati "teh tiga layer” (diperbuat daripada air gula melaka di lapisan paling bawah, diikuti susu dan akhir sekali teh) ataupun air bandung.

Malaysia bukan negara sihat

Boleh dikatakan masih ramai lagi bersikap acuh tidak acuh serta memandang remeh perihal kesihatan mereka.

Ini dapat dilihat apabila majoriti ahli masyarakat masih gemar meneruskan ‘budaya makanan sedap’ yang tinggi kandungan lemak serta gula, dan keadaan ini merupakan sesuatu yang membimbangkan, kata Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.

Lihat sahaja di pasaran sekarang. Pelbagai jenis minuman dengan resipi menarik, kononnya untuk kelainan, sentiasa muncul menggamit selera pengguna, dan yang pasti, setiap satu mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Contohnya, ramai yang sanggup beratur agak lama semata-mata ingin mendapatkan secawan teh susu atau nama hipsternya "teh bubble”, "teh boba” atau "teh pearl milk” walaupun harganya agak mahal antara RM10 dan RM15 secawan.

Minuman itu dipanggil teh boba walaupun pada asasnya cuma minuman teh susu yang diletakkan bebola ubi kayu atau tapioka yang memiliki tekstur kenyal dipanggil boba. Minuman ini biasanya diolah dengan gula perang bagi memberikan rasa lemak manis dan warna hitam.

Begitu juga dengan berbagai jenis makanan atau pencuci mulut yang boleh didapati di pasaran. Tidak kisahlah sama ada yang tinggi kandungan gula ataupun garam, pengambilan berterusan dalam jangka masa panjang pastinya mendedahkan si pemakan kepada risiko penyakit tidak berjangkit (NCD).

Terus unggul

Justeru, tidak menghairankan apabila diabetes yang merupakan antara NCD, terus mengungguli masalah utama kesihatan di Malaysia dengan satu daripada lima orang dewasa di negara ini mengalami penyakit itu dengan risiko komplikasi serius.

Keseriusan penyakit ini dapat dilihat apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melabelkan diabetes sebagai 'resipi kepada penyakit’ yang kini menjadi pembunuh nombor satu di Malaysia.

Ini kerana diabetes menjejaskan organ seperti mata, buah pinggang dan sistem saraf seseorang penghidap yang akan disusuli komplikasi lain seperti tekanan darah tinggi dan serangan jantung.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada November lepas dipetik oleh media sebagai menganggap Malaysia bukan negara sihat kerana jumlah rakyat yang menghidap penyakit jantung dan mengalami obesiti adalah tinggi.

"Kalau tanya saya sebagai menteri, adakah Malaysia negara sihat sekarang? (Jawapan saya) Tidak. Kita antara negara dengan kadar tertinggi dari segi obesiti, sakit jantung, dan antara penyebab kematian Covid-19 di negara ini adalah kerana sebahagian besar pesakit mengalami komobiditi atau (menghidap penyakit) kronik,” katanya.

Penyakit jantung iskemik kekal menjadi penyebab utama kematian di Malaysia pada 2020 dengan 18,515 kes daripada keseluruhan 109,155 kematian yang disahkan secara perubatan.

Malah, penyakit itu menjadi sebab kematian utama di negara ini sejak lebih dua dekad lepas dengan peningkatan ketara daripada 11.6 peratus pada 2000 kepada 17 peratus pada 2020 dengan 12,707 kematian atau 68.6 peratus melibatkan lelaki dan baki 31.4 peratus atau 5,808 adalah wanita.

Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Mobiditi 2019 (NHMS) menunjukkan kadar kandungan gula, tekanan darah dan kolesterol tinggi merupakan faktor risiko utama penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung.

"Isu ini tidak boleh dipandang remeh. Walaupun ramai yang sudah sedar akan masalah kesihatan ini, majoritinya tidak ambil peduli kerana lebih mementingkan budaya ‘kesedapan’, dan apa yang kita bimbang adalah kemungkinan besar masalah NCD seperti diabetes akan meningkat tinggi ketika ini.

"Situasi ini boleh dijangka berdasarkan beberapa sebab. Sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ramai berhadapan gaya hidup sedentari iaitu kurang bergerak kerana bekerja dari rumah.

"Malah bagi mereka yang kekurangan pendapatan, PKP mengubah pola diet mereka apabila terpaksa mengambil makanan tinggi karbohidrat seperti nasi. Mereka kurang makan sayur dan buah-buahan yang dianggap pembelian yang sangat mahal,” kata Dr Sharifa Ezat.

Fasa Endemik

Data NHMS 2019 menunjukkan prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah meningkat daripada 11.2 peratus pada 2011 kepada 13.4 peratus pada 2015, manakala pada 2019 pula berjumlah 18.3 peratus atau 3.9 juta orang daripada populasi dewasa.

Dr Sharifa Ezat melihat situasi itu sebagai membimbangkan kerana individu dengan NCD berisiko mendapat jangkitan serius dan kematian akibat Covid-19.

Apatah lagi data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) menunjukkan kematian akibat Covid-19 adalah 3.7 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit berstatus komorbiditi (menghidap lebih daripada satu penyakit) berbanding yang bukan komorbiditi.

Kerajaan yang menyedari keseriusan permasalahan ini bertindak membangunkan strategi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi meningkatkan usaha memerangi NCD, dan ini termasuk meningkatkan program kesedaran serta saringan yang lebih menyeluruh.

Malah, menerusi Belanjawan 2022, kerajaan bersetuju meneruskan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) serta bercadang meluaskan kenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh.

"Suka atau tidak, masyarakat perlu menerima hakikat bahawa kita semua perlu menjalani kehidupan bersama virus Covid-19 iaitu fasa endemik, dan seperti sedia maklum, mereka yang mempunyai penyakit NCD lebih berisiko, dan kerana itu amat penting untuk (mereka) mengubah tingkah laku dan menjaga amalan pemakanan sihat.

"Kalau bukan diri kita, siapa lagi? Kerajaan tidak akan mampu menjayakannya tanpa penglibatan semua,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram