Guna paku dan dawai kokot untuk bungkus makanan, salah di sisi undang-undang


  • Primer
  • Selasa, 04 Jan 2022

PENIAGA yang menggunakan paku, dawai kokot atau bahan berbahaya pada pembungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah. — Gambar Hiasan

BARU-BARU ini, tular di media sosial berkenaan isu penggunaan paku bagi membungkus makanan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mana-mana peniaga menggunakan paku, dawai kokot atau bahan seumpamanya yang berbahaya pada pembungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasminya pada Selasa.

Dr Noor Hisham berkata, hukuman lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan kerana di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa didapati menyediakan atau menjual makanan yang di dalamnya mengandungi bahan memudaratkan kesihatan boleh dikenakan denda, hukuman penjara atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Jelasnya, hukuman maksimum mengikut Seksyen 13 ialah denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Sehubungan itu, kita menasihatkan supaya peniaga makanan tidak menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya pada pembungkusan makanan.

"Ini kerana penggunaan bahan tersebut boleh menyebabkan kecederaan serius sekiranya ia termasuk dalam makanan dan ditelan pengguna,” katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram