Kes Covid-19 meningkat, catat 2,842 kes


  • Primer
  • Selasa, 04 Jan 2022

ANGKA itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bertambah kepada 2,769,886 kes. — The Star

JUMLAH kes Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 2,842 kes pada Selasa, berbanding 2,690 kes dilaporkan pada Isnin.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, angka itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 bertambah kepada 2,769,886 kes.

Daripada jumlah kes 2,842 itu, sebanyak 332 daripadanya adalah kes import.

"Kes import membabitkan 292 rakyat tempatan dan 40 lagi adalah warga asing," kata Noor Hisham dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, daripada jumlah kes harian yang dilaporkan, 47 kes adalah kategori tiga hingga lima dan selebihnya, 2,795 kes atau 98.3 peratus adalah kategori satu serta dua.

Beliau berkata, seramai 252 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 134 lagi memerlukan bantuan mesin pernafasan.

"Bilangan kes sembuh hari ini adalah 2,862 kes menjadikan jumlah keseluruhannya, 2,698,613 kes," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan (Rt) negara kekal pada nilai 0.99.

"Kelantan dan Johor mencatatkan nilai Rt pada 1.0, Kedah (0.98), Melaka (0.97), Sabah (0.97), Terengganu (0.96), Pahang (0.96), Perak (0.95), Selangor (0.95), Pulau Pinang (0.93), Kuala Lumpur (0.92), Negeri Sembilan (0.91) dan Putrajaya (0.90)," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, Kes Harian, , Menurun, Noor Hisham, Kkm