Search mahu kembalikan kegemilangan di Indonesia


  • Hiburan
  • Sabtu, 01 Jan 2022

SEARCH optimis untuk bangkit dan kekal relevan selepas konflik yang melanda kumpulan rock itu selama ini.

"KITA mahu kembalikan pengaruh Search di Indonesia," itu kata pemain gitar kumpulan Search, Noordin Mohd Taib sebaik mengambil penyanyi asal Indonesia, Denden Gonjalez sebagai vokalis kumpulan itu buat masa ini.

Katanya lagi, perkara itu merupakan antara perancangan kumpulannya yang turut diterajui bersama Kid (gitar) dan Yan (Bass).

"Kita mahu meneruskan legasi Search kalau boleh sampai bila-bila.

"Search sudah dikenali di Indonesia, malah popular 20 tahun lalu dan kami mahu mengembalikan pengaruh itu dengan melakukan kolaborasi bersama Denden," katanya ketika ditemui Majoriti di Hotel The Royal Champbell, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambahnya, dia sangat optimis untuk mengangkat semula nama Search selepas konflik yang melanda terutama perpecahan kumpulan dengan vokalis asal, Amy Search.

Katanya lagi, meskipun Amy menubuhkan kumpulan baharu dengan menggunakan nama Search, dia tidak mahu menjadikan itu sebagai isu besar sebaliknya fokus untuk mengurus tadbir kumpulannya dengan lebih baik.

"Tahun 2022 bakal menjadi lembaran baharu untuk Search bukan sahaja dengan vokalis baharu tetapi pelbagai perancangan seperti merakam semula lagu lama, penghasilan single baharu dan jika tiada halangan kita akan melakukan konsert.

"Pada masa sama kita juga merancang untuk melebarkan lagi kolaborasi dengan penyanyi luar dari sekitar Asia Tenggara," ujarnya.

Katanya lagi, perancangan Search untuk kolaborasi bakal melibatkan beberapa negara seperti Singapura, Brunei, Jepun dan Thailand.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

search, indonesia, denden gonjalez, Noordin, Kid