
SUDAH dua tahun berlalu penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin menutup tirai konsert berskala besar, Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung di tiga buah negara iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia.
Tidak dinafikan, konsert mega itu masih memberi kesan kepada semua yang menonton terutama peminat setia penyanyi kesayangan ramai itu.
Tambahan pula, dengan rangkaian lagu-lagu yang popular dan malar segar, Siti Nurhaliza membuktikan bahawa dia merupakan penyanyi yang selayaknya digelar The Voice Of Asia.
Mengimbau kembali kenangan indah konsert yang paling bermakna itu, Siti Nurhaliza menerusi syarikat produksinya, Siti Nurhaliza Production dengan kerjasama Shiraz Projects tahun ini tampil dengan filem dokumentari konsert, Siti: Are You Ready.
Dalam puluhan konsert yang pernah dijayakan oleh ibu kepada dua cahaya mata itu, ini merupakan kali pertama kisah di sebalik tabir perjalanan menuju hari bersejarah penyanyi itu ditayangkan kepada umum.
Menurut Siti, dokumentari ini merupakan realiti suka duka dan kenangan pahit manis dirinya bersama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan konsert jelajahnya itu.
Filem ini juga mengangkat sudut pandang Siti sebagai seorang ibu, isteri dan penyanyi dalam kehidupan seharian serta memaparkan perjuangannya 'berlawan' dengan diri sendiri menangani kebimbangan menuju ke hari konsert.
Majoriti diberi peluang untuk menonton filem tersebut pada tayangan perdananya yang berlangsung pada Rabu.
Diarahkan oleh pengarah muda, M.Azhar Rot dan Anz Izwan filem ini merupakan satu garapan tentang sisi berbeza Siti Nurhaliza di sebalik kesempurnaan persembahan beliau di atas pentas.
Jadi apakah yang boleh anda jangkakan daripada filem ini?
1. Kesungguhan Siti Nurhaliza
Menerusi filem ini, penonton akan melihat bagaimana seorang Siti Nurhaliza bersungguh-sungguh mahu menampilkan yang terbaik buat penonton untuk konsert jelajahnya.
Meskipun beliau tidak semuda dulu dan ketika itu sudah melahirkan zuriat yang pertama, Siti tidak menjadikan itu sebagai penghalang dan sentiasa komited dalam usahanya merealisasikan konsert mega itu.
SITI mengenakan busana yang dari duo pereka fesyen, Rizman Ruzaini.
2. Sisi berbeza
Jika selama ini ramai mengenal Siti Nurhaliza sebagai seorang yang lemah lembut, jangan terkejut apabila sebenarnya belau mempunyai sisi yang tegas dalam dirinya.
Sudah namanya anak polis, Siti juga mempunyai sisi tegas yang profesional dalam bekerja dan bertempat hanya untuk memastikan setiap urusan dalam pengurusan konsertnya berjalan lancar.
3. Cinta Siti kepada peminat
Antara adegan yang menyentuh hati adalah keprihatinan Siti kepada peminatnya.
Ini merupakan antara momen yang sangat mengharukan apabila dalam banyak-banyak perkara yang harus difikirkan untuk konsert tersebut, Siti tetap memikirkan tentang kebajikan peminatnya.
Apa yang Siti lakukan? Kenalah tonton filem ini di Astro First atau Vimeo On Demand pada 30 Disember 2021.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram