Awas risiko tiga penyakit berjangkit bawaan banjir


  • Massa
  • Rabu, 29 Dis 2021

PENDEDAHAN kepada air banjir akan merisikokan orang awam kepada tiga penyakit utama iaitu kencing tikus, melioidosis dan demam kepialu. — Gambar hiasan / Agensi

PENULARAN penyakit berjangkit bawaan air yang tercetus akibat bencana banjir berikutan musim tengkujuh dan hujan lebat berpanjangan sememangnya lebih tinggi berbanding di luar musim tersebut, sekali gus meningkatkan risiko orang ramai dijangkiti penyakit berkenaan.

Pakar Penyakit Berjangkit Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri KPJ, Dr Muhammad Yazli Yuhana berkata, pendedahan kepada air banjir akan merisikokan orang awam kepada tiga penyakit utama iaitu kencing tikus, melioidosis dan demam kepialu.

"Penyakit kencing tikus atau leptospirosis diakibatkan oleh air banjir yang terkena najis kencing tikus.

"Melioidosis pula diakibatkan oleh kuman bawah tanah. Apabila berlaku banjir, tanah akan tercemar dan mengeluarkan kuman meliodosis boleh menjangkiti kita sekiranya terminum air tersebut.

"Selain itu, ialah demam kepialu yang disebabkan oleh pembuangan najis tidak terurus di kawasan terkena banjir. Jadi kalau berlaku banjir, kita amat mudah terkena penyakit ini," katanya kepada Majoriti.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, gejala paling kerap ditunjukkan oleh individu yang dijangkiti penyakit bawaan banjir adalah demam yang lazimnya berlaku dalam tempoh dua ke tiga hari selepas terdedah kepada air banjir.

WhatsApp Image 2021-12-28 at 20.19.49

KATA Muhammad Yazli, gejala paling kerap ditunjukkan oleh individu yang dijangkiti penyakit bawaan banjir adalah demam.

Beliau berkata, gejala lain termasuklah cirit-birit jika terdedah kepada bakteria yang menyebabkan demam kepialu.

"Sekiranya terdedah kepada kuman leptospirosis atau melioidosis, pesakit akan mendapat demam, menggigil dan sukar bernafas kerana paru-paru telah dijangkiti kuman.

"Gejala lain yang perlu dipantau adalah sakit perut dan muntah-muntah," katanya.

Langkah-langkah pencegahan yang disyorkan oleh pakar sudah tentu untuk tidak mendedahkan diri kepada banjir, namun jika tidak dapat dielakkan, pastikan anda membersihkan diri daripada kotoran.

"Jika mempunyai luka yang terdedah, pastikan luka itu ditampal atau ditutup terlebih dahulu sebelum meredah air banjir.

"Sebagai peringatan, sebelum berlaku banjir sebaik-baiknya pastikan persekitaran rumah itu bersih. Ini dapat mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit disebabkan banjir dapat dikurangkan.

"Elakkan diri dan anak-anak daripada bermain air banjir kerana mereka akan mudah dapat penyakit daripada banjir ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram