Lumayannya jual kasut manik seni kraf Baba Nyonya


JOYCE berkecmoung dalam perniagaan kasut manik sejak 21 tahun lalu.— Bernama

"JIKA bukan kita siapa lagi yang akan memertahankan seni dan kraf tangan warisan ini," itu kata seorang pengusaha butik kasut manik, J Manik, Joyce Ngiow, 52.

Berkecimpung dalam perniagaan menjual produk kraf warisan masyarakat Baba dan Nyonya sejak 21 tahun lalu, Joyce memberitahu meskipun kasut manik mahal tetapi ia berbaloi dengan nilai boleh diwarisi.

Katanya, perkara itu adalah satu daripada keistimewaan kasut manik kerana produk kraf tersebut boleh dibaiki dan dijahit semula untuk diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

"Selain itu harga yang dibayar berbaloi dengan penghasilan seni halus pada setiap pasang kasut manik dihasilkan kerana ia memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi.

"Saya mempunyai ramai pelanggan tetap...ada yang telah 20 tahun lepas, datang kembali ke butik ini untuk jahit semula dan membaiki kasut manik lama mereka untuk diberikan kepada anak-anak," katanya.

Katanya lagi, sebagai contoh, jika kasut ibu bersaiz enam dan anaknya pula bersaiz lapan, pihaknya boleh baiki kasut untuk diwariskan kepada anaknya kerana setiap kasut manik mempunyai nilai tersendiri.

jmanik 3

PEMBUATAN kasut manik memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi.

Anak jati bumi Hang Tuah itu berkata harga setiap pasang kasut manik yang dihasilkan bergantung kepada jenis manik digunakan dan ia turut mempengaruhi tempoh masa bagi menghasilkan sepasang kasut manik.

Menjalankan perniagaan di Jalan Hang Lekir, Melaka, Joyce berkata, bagi kasut manik dihasilkan menggunakan manik halus iaitu japanese glass beads diimport dari Jepun, ia dijual pada harga RM450 hingga RM680 sepasang dan mengambil masa kira-kira enam minggu untuk disiapkan.

Katanya, bagi harga kasut yang menggunakan manik potong diimport dari Republik Czech pula mencecah RM1,800 hingga RM2,250 sepasang dan ia mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk dihasilkan.

Bekas pramugari Singapore Airlines itu berkata kasut manik dihasilkannya menggunakan kulit yang berkualiti dan beliau mempunyai tukang kasut sendiri terlibat dalam proses pembuatan kasut berkenaan dari awal hingga akhir.

"Kami tawarkan personalized service kepada setiap pelanggan kerana ingin memastikan mereka berpuas hati, selesa dan gembira dengan kasut manik yang ditempah. Itu juga antara sebab mengapa J Manik mampu bertahan hingga hari ini.

"Memang tidak dinafikan harga sepasang kasut manik agak tinggi tetapi ia bukan mudah dihasilkan dan menggunakan bahan yang berkualiti. Semua orang tahu menjahit kasut manik tetapi untuk membuat sepasang kasut berkualiti, ia memerlukan kesabaran dan teknik yang betul," katanya yang masih menjual produk kraf berkenaan menerusi kaedah konvensional iaitu hanya di J Manik.

jmanik 2

BUTIK J Manik terletak di Jalan Hang Lekir, Melaka.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam penghasilan kasut manik, Joyce berkata minat terhadap aktiviti jahitan itu bermula sejak kecil apabila menyaksikan ibu dan makciknya menjahit sendiri kasut manik mereka untuk digunakan sebagai satu daripada persalinan yang kebiasaannya dipakai bersama kebaya nyonya pada majlis formal atau tidak formal.

Beliau berkata, selain itu, minat tersebut kemudiannya menjadi hobi bagi mengisi masa lapang dan memenuhi permintaan tempahan daripada rakan kebanyakan daripada kaum peranakan ketika beliau masih berkhidmat sebagai pramugari di Singapura Airlines.

"Setelah sembilan tahun bekerja di Singapura, saya terfikir sampai bila hendak bekerja makan gaji kerana saya juga mengimpikan untuk mempunyai perniagaan sendiri dan idea memulakan perniagaan ini tercetus daripada rakan yang membuat tempahan.

"Lagipun saya suka pada warna. Apabila mengembara saya dapat lihat banyak perkara di negara luar dan dari situ juga saya melihat potensi kasut manik sebagai satu cabang perniagaan yang boleh diusahakan dan ia masih relevan digayakan hingga hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Joyce berkata kasut manik bukan sahaja melambangkan identiti atau peradaban kumpulan etnik peranakan itu malah ia satu daripada warisan tidak ketara yang dikhuatiri pupus ditelan arus kemodenan terutama jika tiada generasi pelapis meneruskan penghasilannya.

Justeru, beliau berharap kerajaan terutama di peringkat sekolah dapat memainkan peranan untuk memupuk minat dan mencungkil bakat pelajar sekolah dalam penghasilan kasut manik menerusi subjek seni.

"Minat anak-anak sekarang berbeza dengan dahulu kerana dahulu tiada gajet atau teknologi canggih...dulu kita belajar menjahit manik melalui pemerhatian, tengok emak menjahit. Lagipun setiap orang mempunyai minat berbeza dan ia tidak boleh dipaksa serta memerlukan kreativiti tersendiri," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram