Uyaina dan suami tangguh bulan madu ke Eropah kerana Covid-19


  • Hiburan
  • Selasa, 21 Dis 2021

UYAINA dan Raja Syahiran memilih untuk menangguhkan seketika bulan madu mereka di Eropah.

BARU sahaja dinikahkan sebagai pasangan suami isteri pada pagi Selasa, pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad dan suaminya yang juga seorang penyanyi, Raja Syahiran memilih untuk menangguhkan seketika sesi bulan madu mereka.

Menurut Uyaina, dia dan suami sebelum itu sudah merancang untuk pergi ke Eropah sebagai lokasi berbulan madu.

"Kita tangguhkan sebab sekarang Covid-19 dan ada pula varian baharu yang merisaukan.

"Jadi buat masa ini, kami bercadang untuk melawat keluarga dan saudara mara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahan untuk memperkenalkan satu sama lain dengan keluarga besar masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Uyaina dan Raja Syahiran selamat bergelar suami isteri selepas diijabkabulkan pada pukul 9.03 pagi Selasa di Colony Star Boulevard, KLCC, Kuala Lumpur.

Pasangan itu dinikahkan oleh abang kandung, Uyaina iaitu Mohd Attaful Uzair Arshad dengan bersaksikan Pendaftar Penikahan Perceraian dan Rujuk Orang Islam Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan, Mohd Abd Nasir Abdullah serta dua orang saksi.

Uyaina atau pemilik nama sebenar Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, dia meluahkan rasa syukur apabila majlis pernikahan berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah majlis pernikahan kami berjalan dengan lancar pagi ini. Sebenarnya kami sudah merancang pernikahan ini sejak beberapa bulan lalu namun banyak pertukaran dari segi perancangan majlis.

“Ia berkaitan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang cepat berubah dan terkini. Pada masa sama, kejadian banjir terburuk yang berlaku beberapa hari sebelum majlis pernikahan turut memberi cabaran kepada kami,” katanya.

Pada majlis itu, Raja Syahiran atau nama penuhnya Raja Azhanrianshah menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin dan gelang tangan emas buat Uyaina.

Namun begitu, tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak, malah mereka memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran di atas persetujuan kedua belah keluarga.

Pada majlis itu, kira-kira 100 tetamu menghadiri majlis yang dinanti-nantikan itu. Antara yang hadir adalah ahli keluarga dan rakan terdekat.

Pasangan ini, memilih #URS sebagai tanda pagar rasmi walimatulurus mereka, yang juga akronim Uyaina Raja Syahiran serta singkatan bagi perkataan 'Yours' dengan sebutan yang sama.

Selain itu, #HinggaAkhirWaktu juga menjadi tanda pagar pilihan pasangan ini yang mana menjadi judul lagu ciptaan Syahiran bersama Uyaina. Lagu terbabit dihadiahkan oleh ibu Uyaina, Siti Noor Farah.

Muzik video lagu #HinggaAkhirWaktu akan dilancarkan pada Januari depan.

Pasangan selebriti itu mula berkenalan pada awal 2019 di sebuah program terbitan Astro dan Uyaina menerima rombangan merisik keluarga Syahiran pada Julai 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram