Sembilan pasukan MyFundAction bantu mangsa banjir


  • Massa
  • Selasa, 21 Dis 2021

ANTARA anggota sukarelawan yang digerakkan bagi membantu mangsa banjir di beberapa lokasi. — Ihsan MyFundAction

PERTUBUHAN bukan kerajaan, MyFundAction menghantar sembilan pasukan sukarelawan yang digerakkan ke beberapa lokasi dilanda banjir.

Menurut Ketua Pasukan Misi Bantuan Banjir Selangor MyFundAction, Muhammad Azri Mohmad Nazri, antara yang digerakkan adalah tujuh pasukan kenderaan pacuan empat roda, satu pasukan lori 10 tan dan satu pasukan bot berenjin.

Ujarnya, pasukan yang terdiri daripada 40 orang belia ini bergerak ke lokasi berbeza seperti Hulu Langat, Bukit Changgang, Taman Sri Muda, Hicom, Meru, UiTM Dengkil, Seksyen 23, Jelebu serta beberapa kawasan yang lain.

"Pelbagai bantuan disusun bagi membantu mereka yang terjejas hasil sokongan masyarakat awam yang bekerjasama dengan kami.

"Antara bantuan yang kita beri adalah daripada sudut makanan, minuman, kesihatan dan keselamatan termasuklah proses pemindahan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terdekat," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, setiap kali pihaknya mendapat makluman tentang komuniti yang terjejas di media sosial, mereka akan terus bergegas ke tempat dinyatakan.

"Kami masih memerlukan sokongan daripada sudut peralatan kebersihan seperti 'water jet' serta perkakasan rumah baharu untuk mangsa-mangsa yang rumahnya ditenggelami air bagi membantu mereka semasa pasca banjir kelak," katanya.

Hujan berterusan sejak Jumaat lalu sehingga Sabtu menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang ditenggelami air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram