Geng Nana sindiket jual bayi guna Instagram di Melaka tumpas, tiga bayi terselamat


  • 112
  • Isnin, 20 Dis 2021

KES disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. — Awani

POLIS menahan 14 suspek dan menyelamatkan tiga bayi dan seorang kanak-kanak berumur lima tahun selepas menumpaskan satu sindiket penjualan bayi menggunakan laman sosial Instagram dalam Op Pintas Nana.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, 14 suspek itu terdiri daripada 10 warga tempatan dan empat wanita Indonesia serta sepasang suami isteri warga tempatan berusia 40-an itu ditahan antara 30 November dan 19 Disember.

''Dalang utama dikenali sebagai Nana, 33, dan pasangan suami isteri berkenaan biasanya menjadi dalang yang mencari anak angkat dan wanita yang hamil anak luar nikah, bagi mendapatkan bayi untuk dijual.

''Modus operandi sindiket terancang ini menggunakan Instagram 'Mencari Anak Angkat Syurga' yang dikesan mula aktif pada Mac 2020 dengan kadar bayaran bagi urusan jual beli bayi adalah sekitar RM12,000, bergantung kepada persetujuan antara pasangan dan sindiket,'' katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah pada Isnin.

Katanya, semua suspek berumur 25 hingga 30 tahun, dan polis sedang memburu seorang wanita berumur 27 tahun yang bertindak sebagai bidan, bagi membantu siasatan.

''Suspek dipercayai menguruskan tujuh kelahiran bayi di beberapa rumah inap di sekitar Melaka. Upah yang diterima bidan tidak bertauliah ini adalah sekitar RM1,000 bagi setiap kelahiran,'' katanya.

Abdul Majid berkata, setakat ini, polis berjaya menyelamatkan dua bayi lelaki berusia tiga bulan dan seorang bayi perempuan berusia empat bulan serta seorang kanak-kanak berusia lima tahun.

''Kita kini sedang mengesan tiga lagi bayi yang telah dijual kepada keluarga angkat,'' katanya.

Katanya kesemua suspek direman dari 17 hingga 27 Disember dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta diboleh dikenakan denda. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram