Cef buta manfaat minat memasak atasi kekurangan diri


SHARIFAH Safiza dilahirkan dalam keadaan mata yang normal, namun penglihatannya mulai kabur dan hilang sepenuhnya sejak 2010. — Youtube

KEHILANGAN nikmat penglihatan sejak lebih 10 tahun lalu tidak menghalang Sharifah Shafiza Said Salleh, untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri serta meneruskan kehidupan hariannya, seperti individu normal yang lain.

Malah, ibu kepada empat orang anak ini tidak kekok menguruskan rumah tangga, dan tetap melakukan aktiviti kesukaannya iaitu memasak pelbagai jenis juadah buat suami dan anak-anak.

"Sebagai ibu memang lah tugas kita adalah memasak walau apa sahaja keadaan kita. Orang buta seperti saya mungkin susah untuk memasak seperti menggoreng, kerana agak bahaya dengan minyak panas dan sebagainya. Namun kini sudah ada perkakas dapur yang moden seperti penggoreng kering. Jadi tidak ada masalah untuk menggoreng.

"Malah walaupun saya ditarik nikmat untuk melihat, Allah memberi pelbagai lagi kelebihan. Antaranya saya boleh tahu sesuatu masakan itu telah masak atau tidak melalui bau dan bunyi percikkan minyak daripada kuali atau periuk,” katanya ketika ditemui pemberita pada pertandingan Pencarian ‘Blind Chef’ di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Kuala Nerus, Terengganu.

Sharifah Shafiza, 41, merupakan salah seorang daripada 13 peserta Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan, yang menyertai pertandingan memasak anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia Wilayah Terengganu dan Persatuan Kebajikan Mardhiah Prihatin Terengganu.

Malah wanita tabah itu membuka sebuah saluran YouTube miliknya, ‘Hobby Masak Semanis Nekbat Channel’ bagi membuktikan kepada masyarakat bahawa beliau juga mampu memasak dan menjalani kehidupan seperti insan lain.

safira 2

SHARIFAH Shafiza juga mempunyai sebuah saluran Youtube milik sendiri, ‘Hobby Masak Semanis Nekbat Channel’. — YouTube

"Saya buka saluran YouTube ini pada Julai tahun lepas, kerana sering menerima pertanyaan daripada masyarakat sekeliling tentang bagaimana saya memasak dalam keadaan tidak nampak ini. Malah ada yang berasa sangsi dan mendakwa apa yang kami (orang buta) masak tidak bersih kerana kami tidak nampak,” katanya.

Anak jati Dungun itu berkata, beliau dilahirkan dalam keadaan mata yang normal, namun penglihatannya mulai kabur dan hilang sepenuhnya sejak tahun 2010 akibat masalah Ambliopia atau dikenali sebagai mata malas.

Graduan Pengajian Syariah daripada Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (kini Universiti Sultan Zainal Abidin) sebelum ini, pernah berkhidmat sebagai guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) namun terpaksa berhenti kerja kerana penglihatannya yang semakin merosot.

"Kalau ikutkan memang lah sedih kerana kehidupan berubah sepenuhnya ekoran masalah mata. Tetapi kita (orang buta) harus kuatkan semangat dan teruskan kehidupan, supaya boleh berjaya seperti orang lain. Kita harus lari daripada stigma yang mengatakan orang buta ini hanya tahu menjual tisu atau meminta sedekah,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

oku, wanita, buta, memasak, youtube, saluran