
SERING kali pasti bermain di fikiran kita sama ada bolehkah kecederaan patah tulang kerana kemalangan, boleh diurut atau tidak.
Memperjelaskan kekeliruan berhubung perkara itu, doktor perubatan rehabilitasi, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, anda tidak dinasihatkan untuk pergi berurut jika mengalami kecederaan anggota yang menyebabkan bengkak teruk dan kesakitan tidak terperi.
Melalui catatan di Facebook pada Rabu, beliau berkata, anda sebaliknya perlu berjumpa doktor untuk jalani pemeriksaan bagi mengenal pasti masalah sebenar.
Menurutnya, tidak semua kepatahan tulang kelihatan jelas dengan mata kasar memandangkan ada kalanya, kemalangan hanya menyebabkan tulang retak.
"Ia kelihatan seperti tidak patah dari luar, namun keutuhan tulang ini tidak stabil. Jika diurut, jajaran tulang berisiko untuk lari dan ini boleh menyebabkan komplikasi lebih parah.
"Jika kepatahan tulang yang nyata dari mata kasar kerana jajaran tulang jelas sudah lari, anda dinasihatkan agar mendapat rawatan di hospital. Memperbetul kejajaran tulang patah mempunyai beberapa risiko yang perlu ditangani dengan berhati-hati. Silap langkah, ia boleh menyebabkan kecederaan pada pembuluh darah besar dan saraf," jelasnya.
Kamarul berkata, kecederaan pembuluh darah besar boleh menyebabkan pendarahan terus yang mengakibatkan acute compartment syndrome iaitu peningkatan tekanan dalam kompartment dalam anggota tubuh setelah berlaku trauma pada anggota terbabit.
Menurutnya, rawatan perlu dilakukan segera untuk menyelamatkan anggota tersebut, berbeza dengan kaedah urutan yang dikhuatiri boleh menyebabkan keadaan tersebut semakin parah.
"Memandangkan kedudukan saraf di dalam tubuh biasanya terletak di sepanjang sisi tulang, kepatahan tulang boleh sebabkan kecederaan saraf. Kecederaan ini mampu mengakibatkan pesakit hilang deria sentuh dan kelemahan anggota. Malah pesakit berisiko untuk mendapat kelumpuhan," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, jika berlaku kecederaan yang disyaki kepatahan tulang, anda dinasihatkan agar berjumpa doktor.
"Jika berlaku komplikasi ketika pembetulan jajaran tulang di fasiliti perubatan, rawatan kecemasan boleh diberikan dengan segera.
"Kesimpulannya, jika kecederaan dikhuatiri patah, dapatkan pandangan doktor dahulu. Selepas doktor memberi pengesahan bahawa tiada kontraindikasi untuk berurut, anda boleh teruskan hasrat berbuat demikian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram