SEBANYAK 44 pekerja kilang yang baru selesai menerima dos penggalak vaksin Covid-19 berdepan detik cemas apabila bas yang dinaiki mereka terbakat di Jalan Bukit Putus, Negeri Sembilan pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kesemua penumpang merupakan pekerja kilang kayu di Simpang Pertang.
"Mereka juga baru selesai menerima dos penggalak Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Program Imunisasi Covid-19 Awam-Swasta (PIKAS) D’Catteya, Senawang.
"Kejadian itu berlaku kira-kira 12 tengah hari tadi. Bas berkenaan musnah seratus peratus, bagaimanapun kesemua penumpang dan pemandu selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Menurut Ahmad Mukhlis, 16 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Seremban dan Seri Menanti dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.
Bagaimanapun katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. — MajoritiBoleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
