Saya setuju penganjuran FFM, tapi keputusan itu biar jujur — Fizz Fairuz


  • Hiburan
  • Ahad, 05 Dis 2021

FIZZ turut memberitahu ramai sudah mempertikai keputusan penjurian FFM sebelum ini. — The Star

PENGANJURAN Festival Filem Malaysia ke-31 yang akan berlangsung pada Jumaat depan pernah mendapat tentangan daripada anak seni.

Bayangkan sebuah majlis yang diadakan khas untuk mengiktiraf penggiat seni tetapi mendapat tentangan daripada anak seni.

Kebanyakan yang menentang sebelum ini merasakan bahawa wang penganjuran FFM-31 itu adalah lebih baik jika disalurkan kepada penggiat seni khususnya kru produksi yang terkesan dengan Covid-19.

Itu kisahnya pada Julai lalu ketika industri seni masih disekat daripada sebarang aktiviti. Kini, industri hiburan tempatan sudah kembali rancak dan penggambaran juga sudah mula dibenarkan.

Bagi pelakon, Datuk Fizz Fairuz, dia berpendapat yang penganjuran acara untuk mengangkat dan menghargai anak seni seperti FFM perlu diadakan.

Malah, dia sendiri gembira dengan penganjuran majlis yang menghargai anak seni tetapi ada perkara yang perlu diberi perhatian apatah lagi hal itu pernah menjadi buah mulut dalam penganjuran FFM sebelum ini.

Jelasnya, dia berharap supaya FFM kali ini lebih jujur dalam penjurian supaya individu atau pihak yang benar-benar layak sahaja diangkat untuk memenangi kategori yang dipertandingkan.

"Contoh macam orang yang kurang bajet dan lebih bajet. Orang yang mempunyai kewangan tinggi, dia lebih rapat dan baik dengan orang-orang di dalam industri.

"Orang yang baru pula dia mempunyai filem yang berkualiti, tetapi disebabkan tidak mempunyai kenalan dalam industri, maka dia tidak dipilih," katanya kepada Majoriti.

Sebab itu jelas Fizz, dia bersetuju dengan penganjuran FFM tetapi biarlah keputusan yang diberikan itu jujur dan berdasarkan kualiti yang terbaik.

Tambahnya lagi, dia bercakap demikian kerana sebelum ini sudah ramai yang mempertikai keputusan dalam kategori FFM dan mengapa asyik orang sama sahajaa yang menang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram