Lelaki dipenjara tiga hari tawar khidmat kongsi kereta ketika PKP


  • Benua
  • Ahad, 05 Dis 2021

ANTARA kesalahan lain yang dilakukan tertuduh ialah menggunakan kenderaan tidak dilindungi insurans untuk membawa penumpang. — Agensi

SEORANG lelaki yang menawarkan khidmat perkongsian kereta atau 'carpool' semasa tempoh kawalan pergerakan bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 tahun lalu dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan didenda S$1,800 (RM5,548).

Juhari Supari, 52 tahun, disabitkan dengan tiga kesalahan, kata Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) seperti laporan Channel News Asia pada Sabtu.

Ini termasuk menggunakan kenderaan tidak berlesen untuk menyediakan khidmat pengangkutan selain menggunakan kenderaan yang tidak dilindungi insurans untuk membawa penumpang.

Mahkamah pada Jumaat turut menggantung lesen memandunya selama 12 bulan.

Menurut dokumen mahkamah, Juhari adalah anggota kumpulan Telegram "SGHitch" yang kemudiannya ditukar nama kepada 'Covid-19 Lockdown SGHitch'.

Pada 22 April 2020, Juhari menghantar mesej kira-kira pukul 2.55 petang dalam ruang sembang itu dengan menulis, "Pemandu mencari Pax (penumpang)".

Dia menulis bahawa tempat mengambil penumpang hendaklah di kawasan Compassvale dan tempat penghantaran di Pusat Perubatan Thomson, di mana dia bercadang untuk menjemput isterinya.

"Seorang penumpang menggunakan nama 'Decha' membalas teks tertuduh pada pukul 4.15 petang sebelum tertuduh menerima permintaan 'carpooling' tersebut.

"Tertuduh membawa penumpang tersebut dari Blk 447A Fernvale Road ke Novena Square dengan tambang S$7 (RM21.58)," kata pendakwa raya dalam kertas pertuduhan.

Dua penumpang lelaki menaiki kereta Juhari pada kira-kira 5.20 petang dan mereka membayar tambang secara tunai.

Pada sekitar 5.25 petang, seorang pegawai penguat kuasa LTA menahan keretanya di Yio Chu Kang Road.

Menurut pendakwa raya, Juhari memberitahu penumpangnya supaya memaklumkan pegawai LTA itu bahawa mereka saling mengenali antara satu sama lain.

Begitupun tertuduh gagal memberikan nama 'rakan-rakannya' itu ketika disoal penguat kuasa berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram