TESSIE Rijem merupakan seorang guru sekolah rendah yang menginovasi cara pembelajaran bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar di luar bandar di Sarawak dan memenangi Global Teacher Award (GTA) 2021.
Tessie, 30, mengajar di SK Sungai Buloh, Selangau merupakan orang Sarawak pertama yang memenangi anugerah tersebut yang berlangsung di AKS Education Awards, New Delhi.
“Saya terkedu dan tak pernah menyangka saya akan memenangi anugerah peringkat antarabangsa. Namun, saya berbesar hati kenara ini kali pertama sumbangan saya diiktiraf dalam bidang ini. Anugerah ini memberi inspirasi untuk saya menyumbang lebih lagi untuk pelajar di luar bandar.,” kata Tessie.
Pada 24 Oktober, Tessie dan tujuh lagi guru dari serata Malaysia muncul pemenang anugerah tersebut.
Sejak 2018, anugerah ini diberikan kepada guru yang berdedikasi dan lebih dari 100 negara daripada enam benua telah terlibat bagi menghargai segala jasa mereka dalam memberi inspirasi kepada komuniti menjadi masyarakat yang lebih baik menerusi pembelajaran.
Dengan pendekatan yang kreatif, Tessie beralih kepada teknik pembelajaran berdasarkan projek seperti pertandingan menyanyi lagu Inggeris dan aktiviti luar, dan menggalakkan anak muridnya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris sesama sendiri.
Semasa pandemik, Tessie beralih kepada belajar secara dalam talian dan merakam modul pembelajaran buat anak muridnya yang tidak mempunyai komputer dan akses internet, juga meneruskan pertandingan nyanyian secara maya kerana anak muridnya gemar menyanyi.
Sebagai motivasi, dia memuat naik pencapaian anak muridnya di laman Facebook miliknya dan dia juga muat naik karangan bahasa Inggeris mereka di Buloh Mini Digital News, portal digital perpustakaan sekolah.
Guru graduan Institusi Pendidikan Guru, Penang telah berkhidmat di SK Sungai Buloh selama enam tahun.
Semasa dia pertama kali menjejakkan kaki di sekolah itu, dia mendapati ramai pelajar tidak dapat bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun sepatah.
“Cabaran terbesar saya adalah mengajar mereka bahasa Inggeris, kanak-kanak di sini hanya bertutur dalam bahasa Iban dan Bahasa Melayu Sarawak di rumah panjang, mereka juga kurang keyakinan dan perlu diberi galakkan supaya mereka belajar bahasa Inggeris,” kongsi Tessie yang berasal dari Bau, Kuching.
Tambahnya lagi, sebagai guru dia perlu mengenali anak muridnya dan mengetahu apa yang mereka suka kerana kanak-kanak suka bercakap dan bercerita.
"Dengan bimbingan yang betul, mereka pasti cemerlang. Jika mereka meminati dan suka untuk subjek tertentu, mereka akan bermotivasi untuk belajar. Saya gembira kerana berjaya pupuk minat mereka untuk belajar mata pelajaran bahasa Inggeris,” katanya.
Sekolah SK Sungai Buloh mempunyai enam kelas dan satu kelas pra-sekolah untuk 150 pelajar, 10 kuarters kayu untuk para guru.
Perkampungan di situ tidak memiliki sumber air yang dirawat dan mereka dapatkan air melalui bekalan air daripada Gravity Feed System (GFS) atau air hujan. Sumber elektrik pula hanya melalui set penjana kuasa (generator) menggunakan diesel.
"Mengajar adalah kehidupan saya, saya suka mengajar dan saya juga suka kanak-kanak, saya berasa amat gembira apabila melihat peningkatan anak murid saya dan melihat mereka bertutur dalam bahasa Inggeris dengan yakin,” kata Tessie. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram