Bahaya penyakit pneumokokal kepada jemaah umrah, haji


  • Sihat
  • Isnin, 15 Nov 2021

PENYAKIT berkenaan boleh menyebabkan jemaah haji dan umrah berdepan risiko kesihatan yang serius. —

FIRMA Pfizer Malaysia dan BUMITRA Malaysia baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempergiat usaha mencegah penyakit pneumokokal dalam kalangan jemaah haji dan umrah.

Kerjasama itu bertujuan menggalakkan para jemaah merujuk kepada doktor masing-masing mengenai pengambilan vaksin pneumokokal sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi mengurangkan risiko penyakit berkenaan.

Presiden BUMITRA Malaysia, Harun KC Ahmmu dan Pengurus Negara Pfizer Malaysia dan Brune,i Luksanawan Thangpaibool memeterai MoU itu bagi pihak organisasi masing-masing dengan disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Luksanawan berkata penyakit berkenaan boleh menyebabkan orang ramai berdepan risiko kesihatan yang serius.

"Penyakit pneumokokal merupakan antara punca utama jemaah dimasukkan ke hospital. Ia disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Streptococcus pneumoniae dan penghidap penyakit ini boleh menyebarkan bakteria ini kepada orang lain apabila mereka batuk atau bersin.

"Vaksinasi berterusan penting dalam memastikan komuniti kita terus sihat kerana ia melindungi kita daripada banyak penyakit berjangkit yang serius pada setiap peringkat usia. Penting bagi orang ramai merujuk kepada doktor mengenai cara bagaimana mereka boleh melindungi diri sendiri dan orang tersayang,” katanya pada majlis yang berlangsung secara maya itu baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa tiada siapa patut menderita penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin dan atas sebab itu, Pfizer berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kelebihan vaksinasi dengan berganding bahu bersama penyedia penjagaan kesihatan, pendukung paten, penggubal dasar dan organisasi profesional seperti BUMITRA Malaysia.

Harun pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Pfizer kerana ini adalah masa yang terbaik bagi meningkatkan kesedaran dan memperkasa jemaah dengan pengetahuan bagi memastikan mereka dapat menunaikan ibadah dengan lancar.

"Adalah penting bagi semua jemaah menjaga kesihatan mereka sebelum memulakan perjalanan menunaikan haji dan umrah. Selain dimasukkan ke hospital dan menjejaskan ibadah mereka, jangkitan pneumokokal juga boleh merebak kepada ahli keluarga dan orang tersayang,” katanya.

Beliau berkata, laman Facebook BUMITRA Malaysia akan menjadi platform utama bagi menyalurkan maklumat mengenai pneumonia pneumokokal.

Lebih 200,000 jemaah Malaysia dijangka menunaikan umrah tahun depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram