Christina Aguilera terharu digelar Ikon Muzik


  • Hiburan
  • Sabtu, 04 Dis 2021

CHRISTINA bakal mempersembahkan medley lagu popularnya di People Choice Award pada 7 Disember depan. — Agensi

"IA merupakan satu penghormatan untuk menerima anugerah Ikon Muzik pertama di People Choice Award tahun ini," kata penyanyi antarabangsa, Christina Aguilera.

Katanya yang juga penerima Anugerah Grammy, dia sangat teruja untuk kembali ke pentas anugerah dan meraikannya pada 7 Disember 2021.

Berkongsi keterujaan itu di laman sosial Instagram, Christina dikatakan bakal menerima anugerah khas Ikon Muzik atas sumbangannya kepada industri muzik dan kerjayanya yang cemerlang.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga akan mempersembahkan medley lagu popularnya yang bakal diakhiri denga lagu daripada album bahasa Sepanyol terbaharunya yang sangat dinantikan peminat.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Acara Langsung Hiburan, Istimewa dan E! News, Televisyen dan Penstriman Hiburan, NBCUniversal, Jen Neal berkata, pemilihan Christina sebagai penerima anugerah khas adalah kerana dia merupakan seorang selebriti yang berkualiti dan serba boleh.

"Ada sebab Christina Aguilera dirujuk sebagai 'suara generasi kita.'

"Dia bukan sahaja mempunyai suara yang luar biasa, tetapi sebagai pencipta lagu, Christina menghasilkan karya yang membangkitkan emosi sebenar dan bergema merentasi begitu banyak demografi yang berbeza.

"Christina adalah seorang idola dan kami tidak sabar untuk meraikan kejayaannya dan menghadiahkannya anugerah 'Ikon Muzik' pertama People Choice Award," katanya.

Sepanjang kerjaya yang menjangkau empat dekad, Christina memenangi lima Anugerah Grammy, Anugerah Grammy Latin dan merupakan satu-satunya artis di bawah umur 30 tahun yang termasuk dalam senarai 100 penyanyi terhebat sepanjang zaman Majalah Rolling Stone. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram