PELAKON dan pengacara, Uyaina Arshad sudah tidak sabar untuk melepaskan takhta sebagai Puteri Muslimah Pertandingan Puteri Muslimah Asia yang dijuarianya pada tahun 2018.
Menurut pelakon telefilem Bercinta Dengan Jin itu, dia berharap agar legasi Puteri Muslimah Asia diteruskan selepas penganjuran pertandingan ratu cantik muslimah itu tergendala susulan pandemik Covid-19.
"Sudah empat tahun saya memegang takhta itu dan sekarang sudah tiba masanya untuk saya menyerahkan kepada legasi baharu.
"Menjadi Puteri Muslimah Asia merupakan pengalaman yang paling bermakna dan saya harap dengan kelonggaran sekatan Covid-19 di Malaysia dan Indonesia dapat membolehkan pertandingan itu diteruskan," katanya ketika ditemui Majoriti pada tayangan perdana filem Siapa Tutup Lampu di TGV One Utama, baru-baru ini.
Dalam filem Siapa Tutup Lampu, Uyaina memegang watak utama sebagai Azie yang merupakan seorang gadis bertudung yang sebolehnya mahu menutup rahsia hitamnya.
Berkongsi tentang pengalaman berlakon dalam filem bergenre campuran itu, Uyaina mengatakan bahawa ia merupakan satu pengalaman menarik kerana filem ini menyingkap sisi sosial anak muda masa kini.
"Filem ini mencabar diri saya untuk mendalami watak Azie yang mewakili sisi anak muda yang tidak mahu dilihat sebagai seorang yang bemasalah.
"Sepanjang pengambaran saya akui agak seram kerana kami banyak babak di bilik mayat dan saya sebenarnya seorang yang penakut," kata Uyaina yang terpaksa merahsiakan perihal lokasi pengambaran itu dengan ibunya.
Dalam pada itu, berkongsi tentang perancangan untuk tahun 2022, Uyaina berkata dia mahu meluaskan lagi kariernya dengan mencaba diri dengan pelbagai watak baharu untuk filem dan telefilem.
Pada masa sama, dia juga berharap agar meneruskan kembali karier di Indonesia sekiranya industri hiburan peringkat Asia di sana kembali aktif.
"Kalau mereka perlukan khidmat saya di sana (Indonesia) saya berbesar hati untuk menerima, namun bergantung juga kepada jadual Uyaina di Malaysia.
"Kalau diberi peluang, saya mahu mencuba lebih banyak watak lain untuk menjadi pelakon yang lebih verstail," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram