KATA kunci, tarikh lahir, dan memori antara perkara yang disimpan di dalam otak. Otak manusia menyimpan maklumat yang tak terkira banyaknya setiap hari.
Tetapi, ke mana semua maklumat itu pergi?
Untuk sesetengah orang, nama dan tarikh adalah perkara yang sering kita lupa, tetapi ada juga maklumat yang sentiasa di ingatan walaupun kita cuba untuk melupakannya.
Jadi, kenapa manusia boleh ingat sesuatu dan melupakan yang lain? Bagaimanakah cara anda mengingati nombor PIN yang baharu?
Untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai daya ingatan dan bagaimana untuk melatih anda untuk kurang lupa, kita perlu tahu terlebih dahulu dua jenis ingatan yang ada.
Majoriti orang cenderung untuk membezakan ingatan jangka masa pendek dan jangka masa yang panjang. Begitu juga kajian saintifik, kecuali ingatan jangka pendek dikenali sebagai ingatan bekerja.
Segala informasi disimpan dalam tempoh 30 saat, demikian jelas Karl-Heinz Baeuml, profesor dari Pembangunan dan kognitif psikologi di Universiti Regensburg, Jerman.
Semua informasi yang disimpan lebih dari 30 saat jatuh ke kategori ingatan jangka panjang.
“Cara mudah untuk memahami ingatan jangka panjang adalah bayangkan ia sebagai ingatan yang mempunyai banyak pintu masuk,” katanya.
Apa yang diperoleh kadang-kala bergantung pada keadaan sekeliling. Terdapat dua faktor yang mempengaruhi daya ingatan iaitu faktor dalaman dan luaran.
Faktor dalaman adalah seperti keadaan emosi diri anda, manakala faktor luaran seperti lokasi anda sedang berada.
Sebagai contoh, orang yang meminati untuk mempelajari fizik dan sudah mengetahui beberapa perkara sebelum ini akan lebih mudah untuk menerima informasi baharu mengenai subjek tersebut berbanding orang yang tidak pernah tahu apa itu fizik.
Menurut profesor, Ingatan boleh 'hilang', walaupun ia jarang sekali berlaku.
“Sebilangan besar informasi yang masuk tidak dipadamkan begitu sahaja, namun, ia ditukar ke mod pasif,” kata Karl-Heinz.
Mereka mungkin dapat mengingatnya semula dengan rangsangan tertentu, jelasnya.
Muzik merupakan salah satu contoh untuk merangsang ingatan yang kita lupa, begitu juga bau.
“Tip utama adalah merujuk kembali maklumat dalam ingatan dari masa ke masa dan cuba sedaya upaya untuk mengingatnya,” nasihatnya.
Menulis diari, berkongsi pengalaman dengan kawan, melihat gambar di dalam album — semua ini membantu mengekalkan memori dalam mod 'aktif'.
Namun, berinteraksi dengan orang lain tidak sesuai untuk mengingati informasi yang sensitif seperti nombor PIN kad bank anda.
Ada petua lain yang anda boleh amalkan. Untuk menyimpan maklumat yang penting, anda harus belajar untuk mengingati semula dengan menggunakan gambar untuk merangsang semula memori ke mod 'aktif'.
Margit Ahrens dari Persatuan Latihan Memori Jerman menyatakan bahawa otak manusia lebih mudah untuk mengingati gambar.
Nasihat beliau adalah dengan menyimpan simbol dalam ingatan untuk nombor sifar hingga sembilan dan ingat nombor PIN dengan cerita.
Ambil nombor PIN 1234 sebagai contoh, nombor satu disimpan sebagai rumah api, dua sebagai angsa, 3 sebagai basikal tiga roda, dan empat sebagai daun semanggi.
Simbol-simbol yang disimpan ini kemudian digabungkan menjadi sebuah cerita. Sebagai contoh “angsa mengelilingi rumah api dengan menaiki basikal tiga roda dan daun semanggi di dalam mulutnya.”
“Saya perlu kaitkan dengan gambar untuk segala maklumat yang saya mahu simpan,” jelas Ahrens.
Namun, cara ini tidak sesuai untuk semua perkara seperti mempelajari perkataan baharu.
Cara lain yang dicadangkan oleh Ahrens adalah menggunakan salah satu deria yang lain. Katakanlah anda sedang membaca, daripada membaca dengan senyap, anda boleh cuba membaca sekuat hati.
“Cara ini lebih berkesan jika anda membaca buku dan berjalan mengelilingi bilik dengannya,” kata beliau. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram