TIDAK dapat dinafikan bahawa kebanyakan menu makanan di Malaysia pasti akan mengandungi minyak masak dan agak sukar untuk ‘lari’ daripada menggunakan bahan itu.
Jika berbelanja atau pun ‘makan luar’ agak susah untuk mencari makanan sihat tanpa ad a penggunaan minyak dan jalan paling selamat adalah dengan menyediakan makanan sendiri.
Hakikatnya, minyak masak tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana ia juga turut mengandungi khasiat tersendiri.
Merujuk kepada satu kajian terhadap 19 jenama minyak masak oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2007, hampir 98 peratus kandungan vitamin E dalam minyak akan musnah selepas lima kali penggunaan.
Doktor swasta, Dr Ahmad Samhan Awang tampil berkongsi pendapat dan mengatakan minyak masak yang digunakan secara berulang akan menghadirkan risiko penyakit atherosclerosis yang menyebabkan salur darah tersumbat.
Tidak itu saja, jika tidak bernasib baik, individu yang kerap menggunakan minyak masak secara berulang bakal berdepan dengan masalah hati, jantung, alzheimer, parkinson dan barah.
"Kebanyakan pengguna biasanya tidak akan membuang minyak yang sudah digunakan dan sering memakai semula beberapa kali sebelum dibuang.
"Begini, semasa menggoreng, minyak masak akan melepaskan sisa toksik dipanggil aldehydes yang tertinggal di dalam minyak.
"Jadi, makanan yang digoreng menggunakan minyak yang diguna semula akan menyerap sisa toksik aldehydes itu,” katanya.
Bagi memastikan keselamatan lebih terjamin dalam penggunaan minyak masak, ada beberapa tips yang mungkin boleh dipraktikkan:
1. Sebaik-baiknya, minyak masak hanya boleh digunakan maksimum dua hingga tiga kali sahaja. Apabila warna bertukar menjadi hitam, segeralah buang.
2. Minyak sisa menggoreng haiwan berdarah seperti ayam, ikan atau daging seelok-eloknya tidak diguna semula dan terus dinyahkan kerana darah akan meningkatkan kandungan karbon serta mengubah struktur asid lemak yang merbahayakan kesihatan.
3. Guna minyak masak yang mendapat pengesahan daripada SIRIM sahaja. Harus diingat, minyak kitar semula hanya sesuai untuk biodiesel bahan bakar dan bukannya untuk masakan.
4. Pilih minyak masak yang mengandungi asid lemak poli tidak tepu paling rendah (polyunsaturated fats) kerana jika ia tinggi, keadaannya tidak stabil apabila dipanaskan dan lebih mudah teroksida serta akan menjadi tengik. — Sinar Harian