Emelda Rosemila seronok berlakon dengan suami, sanggup botakkan kepala


  • Hiburan
  • Rabu, 01 Dis 2021

EMELDA dan Adlin kedua-duanya memegang watak sebagai jutawan kosmetik di dalam drama Dukun Diva.

SEKALI lagi pasangan pelakon suami isteri Emelda Rosemila dan Adlin Aman Ramli beraksi di dalam sebuah drama baharu yang berjudul Dukun Diva.

Emelda dan Adlin kedua-duanya memegang watak sebagai jutawan kosmetik yang bersaing antara satu sama lain di dalam drama arahan Ariff Zulkarnain.

Menurut Emelda, ini merupakan kali keempat dia beraksi di depan kamera bersama suami tersayang.

"Saya rasa seronok bila dapat berlakon bersama sengan suami sendiri. Sebab bila saya dan Adlin berada dalam satu frame ni, senang untuk kami bertukar-tukar pendapat untuk menjayakan watak masing-masing.Lebih-lebih lagi apabila di dalam drama ini saya ada banyak babak bersama dia.

"Kalau macam shooting sebelum ini, saya selalunya agak susah untuk berbincang dengan orang bagi mengembangkan lagi watak. Jadi bila digandingkan dengan suami sendiri, saya boleh bercakap tentang perkara itu setiap masa.

"Ia juga membantu saya untuk menaikkan mutu lakonan sendiri dan bukan sekadar berlakon hanya berdasarkan skrip yang telah diberikan sahaja," katanya ketika ditemui Majoriti pada sidang media drama Dukun Diva di Dadi Cinema, Pavilion, pada Selasa.

Namun apa yang lebih menarik adalah penampilan baharu Emelda benar-benar memberi kejutan apabila dilihat dengan imej botak.

Emelda yang sebelum ini sering menggayakan rambut pendek menjelaskan bahawa, keputusan untuk membotakkan kepalanya adalah atas inisiatif sendiri bagi memenuhi karakter sebagai seorang perompak.

"Sebenarnya saya baru habis sesi penggambaran filem dan kena botakkan rambut untuk membawa watak perompak. Saya dah 20 tahun dalam bidang lakonan dan sentiasa nak upgrade diri daripada melakonkan watak yang sudah menjadi kebiasaan.

"Jadi bila dapat karakter yang berbeza, saya mahu lakukan yang terbaik untuk melakonkan watak tersebut. Pengarah tak suruh pun tapi saya sendiri yang suggest dan mereka gembira kerana imej ini sesuai dengan watak saya di dalam filem itu.

"Adlin kata lepas ni tak payah simpan rambut panjang, biarkan sahaja macam ni. Lagipun sebelum ni memang dah berambut pendek, kalau rambut panjang mungkin akan fikir juga la nak botak atau tidak," ujarnya.

Emelda dan Adlin telah mendirikan rumah tangga sejak 12 tahun yang lalu dan mempunyai seorang anak lelaki yang diberi nama Edra Rafael yang kini berusia sembilan tahun.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram