THE Medium merupakan sebuah filem seram kolaborasi antara dua pengarah filem iaitu Banjong Pisanthanakun dari Thailand dan Na Hong-Jin dari Korea.
Filem berdurasi dua jam 10 minit ini mengisahkan tentang pasukan dokumentari mengembara ke wilayah Isan, Thailand untuk mengikuti kehidupan seorang bomoh tempatan.
Lebih menarik, The Medium menggunakan gaya penggambaran fly-on-the-wall untuk memberikan rasa keaslian kepada peristiwa yang digambarkan serta meningkatkan lagi elemen seram dan mistik.
Menurut pengarah filem Banjong Pisanthanakun, dia menghabiskan masa hampir setahun mengembara dan melakukan kajian bagi mencari maklumat berkaitan bomoh di wilayah berbeza terutamanya di Isan, Thailand.
"Saya bertemu lebih daripada 30 bomoh, selain daripada sisi mistik, ia juga seolah-olah saya secara beransur-ansur mencari jawapan untuk diri saya sendiri juga.
"Tiada bomoh yang terlibat semasa sesi penggambaran berlangsung. Tetapi saya ada bertemu dengan beberapa bomoh di bahagian utara dan timur laut Thailand sewaktu proses penyelidikan watak tersebut.
"Ritual yang dilakonkan di dalam filem ini juga adalah inspirasi dari seluruh negara termasuklah Thailand dan Indonesia," katanya dalam satu sidang media secara virtual.
Seperti pengarah filem lain, Banjong juga tidak terkecuali daripada cabaran sewatu pembikinan filem ini kerana terpaksa menguruskan sesi penggambaran seorang diri tanpa bantuan Na Hong-Jin disebabkan pandemik.
Banjong (kiri) terpaksa menguruskan sesi penggambaran The Medium secara bersendirian tanpa kehadiran Na Hong-Jin.
"Na Hong-Jin merupakan seorang penerbit yang hebat dan dia banyak memberi semangat kepada saya untuk cuba menghasilkan filem genre baharu iaitu ambience-horror.
"Tetapi cabaran utama ialah dia tidak dapat datang ke Thailand untuk sesi penggambaran disebabkan Covid-19 dan ia agak mencabar bagi diri saya. Kerana saya terpaksa lakukan segalanya seorang diri dan Na Hong-Jin akan memantau dari Korea.
"Pada mulanya saya rasa keliru sewaktu sesi penggambaran dijalankan. Tetapi selepas beberapa hari, saya dapat menyesuaikan diri untuk berkarya dan Na Hong-Jin akan memberikan komennya kemudian," katanya.
The Medium akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 2 Disember 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram