Misteri patung sihir di Kamunting, amalkan ayat ini sebagai pelindung diri


  • Mukmin
  • Ahad, 28 Nov 2021

PATUNG yang dijumpai di tanah perkuburan itu. —Facebook

SIHIR bahasa mudahnya membawa maksud untuk menyakiti atau mempengaruhi tubuh badan, fikiran dan hati orang yang disihir tadi dengan dibantu oleh syaitan.

Melalui perkongsian hantaran Kung Pow, dia menceritakan kisah beberapa orang penggali kubur Tanah Perkuburan Islam Kamunting yang berkunjung di Bangunan Martabat, Bintulu.

Menurutnya, penggali kubur tersebut membawa sebuah bakul yang berisi patung sihir yang diperbuat dari kayu yang dibungkus sebelumnya dengan kain putih, kuning dan hitam untuk diserahkan kepada Kung Pow dan rakannya untuk dimusnahkan.

Patung tersebut telah dijumpai berdekatan dengan salah sebuah kubur dan hanya diletakkan berdekatan dengan tapak kubur.

Jelas kelihatan patung yang dipercayai dari kayu apong itu dicucuk dengan menggunakan tiga batang jarum yang bertujuan untuk menyakiti mangsa sihir.

"Saya tidak berani untuk mengatakan apakah patung ini benar-benar digunakan untuk menyihir seseorang kerana secara peribadi saya melihat patung dan semua kain-kain yang digunakan ini sepertinya ‘tidak cukup sifat’. Tetapi boleh jadi juga patung ini merupakan salah satu bahan ritual untuk menyempurnakan sihir. Allahu a’lam.

"Terdapat dua kesimpulan tentang patung tersebut, ia benar-benar digunakan untuk menyihir seseorang dan yang kedua, mungkin sekadar ada orang yang ingin mencari sensasi sahaja yang mana ada seseorang sengaja meletakkan patung ini untuk menimbulkan rasa ketakutan dan rasa tidak senang dengan masyarakat setempat," kata Kung Pow di hantarannya.

Patung tersebut dimusnahkan dengan penuh adab yang mana mereka mulakan dengan dengan membaca beberapa ayat-ayat ruqyah dari Al Quran yang berkaitan dengan sihir iaitu Surah Al Fatihah, Surah Al Baqarah ayat 102, Ayat Kursi, Surah Al A’raf ayat 117-122, Surah Yunus ayat 81-82, Surah Thoha ayat 69, Surah As Soffat ayat 1-10 dan 3 Qul.

"Kalau betul memang ada yang masih lagi melakukan sihir atau meminta kepada bomoh untuk membuat sihir, bertaubatkan kepada ALLAH SWT dengan sebenar-benar taubat kerana sihir ini adalah merupakan salah satu dari tujuh dosa besar," jelas Kung Pow lagi.

Meminta bantuan syaitan melalui sihir adalah perbuatan di luar hukum alam untuk mencapai tujuan contohnya menyakiti, mengubati dan sebagainya adalah haram hukumnya jelas dalam Islam.

Dari Abu Hurairah, dari Nabi SAW bersabda: “Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan."

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah itu? Baginda bersabda: “Syirik kepada ALLAH SWT, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan haq, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan menuduh wanita mukminah yang suci berbuat zina”. (HR Bukhari No. 2560).

Dalam Islam, al-Quran bukan sekadar menjadi panduan hidup sesesorang umat Islam tetapi lengkap dengan segala ilmu termasuk mematahkan amalan khurafat dan syirik seperti perbuatan sihir.

Seperti yang diceritakan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, beliau mengamalkan ayat kesembilan surah Yassin sebagai pendinding selain daripada ayat Kursi untuk melindungi dirinya menjadi mangsa sihir memandangkan tugasnya yang tidak disenangi segelintir pihak.

Banyak ayat di dalam al-Quran yang boleh dijadikan pelindung diri terhadap ancaman mistik ini tetapi amalan yang paling mudah diingati dengan membaca ayat Surah Al-Anbiya ayat ke-87:

"لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sihir, penggali kubur, Kung Pow, ALLAH, Islam