DALAM babak terakhir filem Halloween, mungkin ada yang menyangka riwayat watak pembunuh bersiri, Michael Myers sudah berakhir.
Tanggapan itu disangkal sebaik sahaja filem terbitan Blumhouse Productions menerjah pawagam pada Oktober dengan kesinambungan filem itu, Halloween Kills.
Bagi yang meminati filem ini, pasti akan teruja untuk menonton apakah kesinambungan karya genre thriller ini.
Bagaimana plot cerita kali ini dan perkembangan watak, Laurie Strode yang terselamat dari menjadi mangsa Myers.
Berdasarkan komen-komen pengkritik di portal-portal antarabangsa, filem ini mendapat maklum balas yang amat mengecewakan.
Rata-rata penonton mengatakan jalan ceritanya membosankan, malah garapannya disifatkan sebagai malas.
Pengkritik filem, Carla Hay berkongsi, menyuarakan perkara sama dan mengatakan Halloween Kills adalah naskhah yang merosakkan francais filem itu.
Katanya, tiada apa yang baru yang diketengahkan dalam penceritaan tetapi hanya plot yang berulang tentang pembalasan dendam Myers (pembunuhan).
"Mereka juga tidak mengembangkan watak Strode dalam filem kali ini selain di hospital.
"Ia adalah pernantian yang menghampakan selepas siri terakhir ditayangkan pada tahun 2018," jelasnya.
Tambahnya lagi, filem ini menayangkan stereotaip terburuk dari filem seram.
Filem Halloween Kills mengisahkan Myers kembali menyambung ritual darahnya namun kali ini konflik filem diketengahkan dengan mangsa yang terselamat dalam filem terdahulu dan penduduk di Haddonfield yang ingin menamatkan siri pembunuhan itu. — Agensi