Bekas Ketua Polis Perak Osman Salleh meninggal dunia


  • Primer
  • Ahad, 28 Nov 2021

ALLAHYARHAM Osman Salleh meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban, pada pukul 12.51 tengah hari Ahad. — Facebook

BEKAS Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh, 65, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, pada pukul 12.51 tengah hari Ahad.

Perkara itu dimaklumkan anaknya Dr Mohd Hafiz Osman menerusi laman Facebooknya pada Ahad.

"Dukacita dimaklumkan ayahanda saya, Osman Salleh telahpun menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12.51 tengah hari tadi di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban. Mohon sama-sama doakan Allah memberi keampunan dan rahmat kepada arwah abah saya,” katanya menerusi catatan berkenaan.

Difahamkan Allahyarham yang juga pernah menjawat jawatan ketua polis Negeri Sembilan itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah susulan jangkitan Covid-19 selepas enam hari dimasukkan ke HTJ.

Menurut Mohd Hafiz, jenazah Allahyarham yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Bekas Pegawai Kanan Polis (Respa) Negeri Sembilan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Ainsdale, Labu kira-kira pukul 5 petang.

Allahyarham pernah berkhidmat selama tujuh tahun di Negeri Sembilan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Perak ke-27 pada 16 Disember 2014 dan bersara wajib pada 13 Februari 2016.

Allahyarham yang berasal dari Seremban, mempunyai kelulusan dalam bidang Sarjana Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia dan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih 40 tahun lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Timbalan KPN, Datuk Seri Mazlan Lazim dan seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham.

Ucapan takziah itu disampai menerusi Facebook rasmi PDRM pada Ahad yang antara lain menyatakan penghargaan kepada Allahyarham yang mencurahkan bakti selama 41 tahun dalam pasukan polis.

"Allahyarham telah dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Perak pada tahun 2014 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 2016 dengan pangkat Komisioner Polis.

"Didoakan agar roh Allahyarham Osman Salleh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman serta beramal soleh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram