Apek Cina ajar cara 'lawan' pembuli jalan raya


TANGKAP layar video yang tular dalam video sosial berkaitan lelaki yang merampas beg tangan wanita yang melanggar keretanya.

BARU-BARU ini tular di media sosial video yang memaparkan seorang individu terlibat dalam kemalangan dipercayai di Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur.

Video itu memaparkan lelaki itu bertindak agresif dengan mengambil beg tangan wanita yang dipercayai terlibat dengan pelanggaran tersebut.

Difahamkan tujuan itu adalah supaya wanita itu mengikutnya ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Namun, tindakan agresif lelaki itu bagaimanapun mendapat kecaman warganet apatah lagi tindakan itu salah.

Malah, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan lelaki itu telah ditahan untuk membantu siasatan walaupun pada awalnya, dia yang menjadi mangsa langgar.

Pemilik akaun Facebook, Ulasan Apek Cina turut mengulas mengenai kejadian tersebut dan memberitahu apa yang sepatutnya dilakukan jika kita dilanggar.

"Apabila saya kena langgar, benda yang pertama saya lakukan adalah ambil telefon dan buat video, dan ceritakan apakah yang berlaku, masa, di mana, dilanggar siapa, bagaimanakah dilanggar secara terperinci.

"Selepas itu saya akan membawa kereta ke balai polis berdekatan dan serahkan rakaman video tersebut kepada polis," katanya.

Menurutnya lagi, jika orang yang melanggar itu mengaku salah dan tidak mahu bertemu dengan polis, maka minta pampasan di lokasi kejadian.

"Perkara sama juga boleh dilakukan jika saya yang melanggar. Saya akan menawarkan bayaran.

"Tak perlu marah, pukul atau rampas barangan. Saya juga tidak faham kenapa orang nak kaitkan insiden itu dengan isu perkauman," katanya.

Terdahulu, klip video berdurasi satu minit 30 saat tular di media sosial, memperlihatkan pemandu lelaki itu meminta kad pengenalan wanita pemandu BMW terbabit selepas kemalangan berkenaan.

Suasana bertukar menjadi tegang dengan pertengkaran dan berdasarkan video yang dipercayai dirakam wanita terbabit, lelaki itu dilihat merampas beg tangan dalam BMW sebelum diletak dalam keretanya.

Wanita berusia 34 tahun itu mendakwa turut dicederakan oleh lelaki berusia 56 tahun terbabit ketika mereka bertengkar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Kemalangan, Langgar, Polis, Agresif, Rampas