AKTIVITI berbasikal bukan lagi asing bagi masyarakat Malaysia yang menjadi antara hobi pilihan ramai tidak kira dewasa mahupun kanak-kanak.
Walaupun berbasikal merupakan hobi yang digalakkan kerana ia merupakan aktiviti yang sihat, ada beberapa perkara tentang aktiviti ini yang mengundang isu dan menjadi perbincangan ramai.
Satu hantaran di laman sosial Facebook berkenaan geng basikal mendapat perhatian ramai sejak Sabtu yang berkongsi rasa 'bengang' dengan hakikat golongan ini selah-olah kebal daripada tindakan undang-undang jalan raya.
Pemilik akaun Firdaus Zahari menulis di grup Basikal Buat Hal Apa Hari Ni?, mengutarakan persoalan tentang pengguna basikal yang tidak memasang lampu sebagai langkah keselamatan.
GAMBAR memaparkan empat penunggang basikal, tiga lelaki dan seorang perempuan. — Facebook
"Basikal tiada lampu tidak mengapa, motosikal tidak berlampu disaman, mungkin mereka gunakan lampu hati rasanya," kongsinya.
Dalam hantaran tersebut, Firdaus turut berkongsi dua keping gambar geng basikal di persimpangan lampu isyarat di sebuah lokasi tidak dinyatakan, dipercayai sekitar Lembah Klang.
Gambar berkenaan memaparkan empat penunggang basikal, tiga lelaki dan seorang perempuan yang berada di lorong paling kiri difahamkan mahu membelok ke simpang kanan mereka.
Berada paling hadapan, seorang penunggang (wanita) kelihatan sedang menoleh ke belakang untuk memeriksa keadaan rakan basikal lain.
Berdasarkan situasi yang dirakam, dengan keadaan hujan yang lebat, tindakan penunggang basikal tersebut amat berbahaya.
Malah, mereka boleh mengundang masalah kepada pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan disebabkan keberadaan mereka tidak disedari.
Oleh yang demikian, wajar Firdaus mengutarakan pendapat sedemikian kerana dengan keadaan sedemikian, risiko bahaya boleh disamakan dengan motosikal tidak berlampu.
Ramai juga netizen yang bersetuju dengan pandangan Firdaus, malah ada juga pengguna yang membahaskan pemakaian penunggang wanita di dalam gambar tersebut yang dikatakan menjolok mata sehingga menampakkan pakaian dalamnya.
Bagaimanapun, sampai bila geng basikal akan mendapat kenikmatan dan kekebalan membelah jalan raya tanpa lingkungan undang-undang? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram