JPJ siasat permit van gilis budak di Sepang — Polis


  • 112
  • Sabtu, 13 Nov 2021

TANGKAP layar insiden budak maut dilanggar van di hadapan sebuah rumah transit dalam kejadian di Sepang.

VAN sekolah persendirian yang melanggar seorang kanak-kanak perempuan tujuh tahun dalam kejadian di Taman Dahlia, Sepang pada 12.10 tengah hari Jumaat, akan disiasat sama ada beroperasi dengan permit sah atau tidak.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Md Noor Aehwan berkata, perkara itu akan disiasat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Isnin depan.

"Sama ada van itu beroperasi secara sah atau tidak, ia sedang disiasat. JPJ (buka siasatan) pada Isnin," katanya kepada Majoriti pada Sabtu.

Sementara itu, Md. Noor berkata, siasatan polis mendapati, pemandu van itu mempunyai lesen memandu yang sah selain van itu turut dilengkapi cukai jalan.

Beliau berkata, pemandu van terbabit juga telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.

Menurutnya, pemandu van wanita berusia 31 tahun itu terlebih dahulu ditahan polis semalam untuk diambil keterangan.

“Pemandu van berkenaan telah diambil keterangan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian itu,” katanya.

Majoriti pada Jumaat melaporkan, polis mengesahkan murid perempuan tujuh tahun yang maut digilis sebuah van sekolah persendirian dalam kejadian di Taman Dahlia, Sepang pada 12.10 tengah hari Jumaat, meninggal dunia semasa menerima rawatan di unit kecemasan Nilai Medical Centre.

Kejadian itu berlaku ketika pemandu van berkenaan menghantar mangsa ke sebuah tadika untuk transit sebelum mangsa meneruskan sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada petangnya.

Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Nur Alisha Safiya Mohd Azlin yang merupakan penumpang terakhir turun dari van berkenaan dirempuh van jenis Toyota Hiace, yang dipandu wanita berusia 31 tahun selepas kenderaan tersebut bergerak ke hadapan di mana pada masa sama mangsa melintas di hadapan van.

Sebelum itu, video memaparkan kejadian tersebut tular di media sosial yang dirakam menerusi televisyen litar tertutup milik slaah seorang penduduk taman berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram