POLIS mengesahkan murid perempuan tujuh tahun yang maut digilis sebuah van sekolah persendirian dalam kejadian di Taman Dahlia, Sepang pada 12.10 tengah hari Jumaat, meninggal dunia semasa menerima rawatan di unit kecemasan Nilai Medical Centre.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan berkata, kejadian itu berlaku ketika pemandu van berkenaan menghantar mangsa ke sebuah tadika untuk transit sebelum mangsa meneruskan sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada petangnya.
Menurut beliau, siasatan mendapati, setelah selesai menurunkan kesemua pelajar di tadika tersebut, van jenis Toyota Hiace yang dipandu wanita berusia 31 tahun itu bergerak ke hadapan di mana pada masa yang sama mangsa melintas di hadapan van.
"Pemandu van tersebut telah melanggar mangsa dan menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala.
"Polis juga sedang merakam percakapannya buat masa ini. Suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dan van tersebut juga tiada kerosakan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
TANGKAP layar ucapan takziah yang disampaikan pihak SK Taman Seroja Sepang kepada mangsa. — Facebook
Mengulas lanjut, Md Noor Aehwan berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke unit kecemasan Nilai Medical Centre, namun pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia semasa menerima rawatan.
"Mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk urusan post mortem," ujarnya.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ) 1987.
Terdahulu, Majoriti melaporkan rakaman insiden seorang kanak-kanak perempuan malang digilis sebuah van sekolah tular di laman sosial Facebook.
Berdasarkan sumber video tular itu, kemalangan tersebut dipercayai melibatkan murid tahun satu sekolah SK Taman Seroja Sepang dikenali sebagai Nur Alisha Safiya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram