Watak Spider-Man bantu Tom Holland bina keyakinan diri


  • Hiburan
  • Selasa, 16 Nov 2021

FILEM Spider-Man: No Way Home lakonan Tom Holland (gambar) akan ditayangkan di pawagam pada Disember 2021. — Agensi

TOM Holland mendedahkan bahawa membawa watak Spider-Man untuk Marvel Cinematic Universe (MCU) telah membantu dia memperoleh sedikit keyakinan dalam menjadi bintang terkenal.

Dalam satu sesi temu bual baharu bersama Total Film baru-baru ini, dia pada mulanya tidak pasti dengan cara berlakon dalam set filem utama MCU itu lima tahun lalu.

Namun, Holland telah berkembang dalam beberapa cara dan dia percaya semuanya ada kaitan dengan peranannya sebagai Spider-Man.

“Saya telah berkembang dan berubah dengan cara yang terbaik. Saya benar-benar belajar bagaimana untuk berdiri di kaki sendiri.

"Apabila anda mula-mula membuat filem ini, anda perlu melakukan seperti yang anda diberitahu dan tidak memikirkan apa-apa. Tetapi lama-kelamaan, anda sedar bahawa anda adalah seorang pelakon dalam filem tersebut dan perlu melindungi diri sendiri.

"Saya telah belajar bagaimana untuk menikmati kemasyhuran saya dan bukannya melarikan diri daripadanya. Ia satu pengalaman yang luar biasa dan sebagai seorang pelakon, saya telah mendapati begitu banyak keyakinan terhadap keupayaan saya melalui Spider-Man.

"Ia seperti taman permainan di mana saya boleh bermain dengan bebas dan membuat kesilapan. Kadangkala kesilapan itu adalah kelahiran idea terbaik dan dari situlah watak itu berkembang," katanya.

Sebelum menyertai MCU, Holland telah berlakon dalam beberapa filem antaranya termasuklah The Impossible dan muzikal Billy Elliot.

Holland kemudiannya menjadi lebih terkenal apabila dia melakonkan watak Spider-Man yang sangat diidamkan dalam MCU.

Setakat ini, dia telah muncul dalam lima siri MCU dan filem seterusnya ialah Spider-Man: No Way Home yang akan tiba di pawagam pada Disember 2021. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Spider-Man, Tom Holland, MCU, Marvel