Siapa hero sebenar dalam Spiderman: No Way Home?


  • Hiburan
  • Khamis, 14 Okt 2021

HOLLAND (kanan) dan Garfield merupakan antara watak Spiderman yang popular selain Toby Maguire. — Agensi

MARVEL Studios dan Sony Pictures Entertainment dilaporkan belum mengeluarkan poster rasmi untuk Spider-Man: No Way Home yang akan menjengah pawagam pada Disember.

Ini berikutan pihak produksi melaksanakan pemasaran filem ini agak lewat, malah mereka masih tidak mencetak sebarang poster meskipun trailer telah dikeluarkan baru-baru ini.

Hal ini membuatkan pihak pawagam di Amerika Syarikat menggunakan poster Spider-Man: No Way Home buatan peminat yang menampilkan pelakon-pelakon yang pernah membawa watak Spiderman sebelum ini.

spiderman 1

PAWAGAM menggunakan poster buatan peminat untuk mempromosi filem terbaru Spiderman: No Way Home. — Agensi

Poster versi tidak rasmi itu dikatakan ada menampilkan gambar Tom Holland, Tobey Maguire dan Andrew Garfield.

Poster tersebut khabarnya dihasilkan berdasarkan jalan cerita yang disambung dari filem Spider-Man: Far From Home.

Peter Parker yang identitinya terdedah kepada umum meminta pertolongan kepada Dr. Strange untuk membetulkan keadaan itu.

Bagaimanapun, akibat kesilapan pada mantra, kedua adiwira itu secara tidak sengaja membuka portal yang mendedahkan Bumi kepada ancaman multiverse.

Dari situ, dijangkakan banyak watak yang akan keluar dari portal itu termasuk Spider Man versi Maguire dan Garfield.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat bahawa pengguna poster berkenaan di pawagam akan mendatangkan kekeliruan kepada umum.

Syarikat produksi mempunyai sebab kenapa mereka lewat melakukan promosi untuk filem tersebut, namun setakat ini tiada pengesahan kewujudan bekas pelakon Spiderman itu dalam filem terbaharu mereka. — Agensi