Spider-Man akui takutkan Doctor Otto Octavius


  • Hiburan
  • Isnin, 01 Nov 2021

DOCTOR Octopus kembali menghantui Spider-Man dalam trilogi finale Homecoming yang dijadualkan menemui peminat pada 17 Disember 2021. — Agensi

ADIWIRA takut dengan penjahat? Itu yang berlaku kepada bintang Spider-Man: No Way Home, Tom Holland selepas mendedahkan dia sebenarnya menggeruni watak Doctor Otto Octavius (Doc Ock).

Karakter Doc Ock yang dilakonkan oleh Alfred Molina muncul dalam Spider-Man 2 (2004) yang menyaksikan watak adiwira itu dijayakan oleh Tobey Maguire sebagai Peter Parker dan Kirsten Dunst sebagai Mary Jane Watson.

Menerusi sekuel tersebut, Doc Ock dikalahkan Spider-Man dan terlihat seperti mati selepas jatuh ke dalam sungai, namun vilain itu akan muncul menentang Holland kali ini sebagai Peter Parker dalam trilogi finale Homecoming yang dijadualkan menemui peminat pada 17 Disember 2021.

Holland melalui temubual dengan Empire via CBR mendedahkan dirinya takut dengan Doc Ock ketika dia masih kecil. Bintang muda itu baru berusia lapan tahun ketika Spider-Man 2 dikeluarkan.

"Saya masih ingat melihat Molina dalam kostumnya buat kali pertama, dan dia memakai cermin mata, serta mengenakan tali pinggang di mana 'tentakel' melekat padanya.

"Seingat saya ketika masih kecil, watak itu sangat digeruni," katanya.

Bekerja dengan Molina di set penggambaran, Holland bagaimanapun menyifatkan pelakon British itu sebagai seorang yang sangat baik dan kelakar.

"Walaupun saya mungkin takut dengan wataknya, kami seronok dapat bekerja bersama," katanya yang menganggap dia amat bertuah digandingkan dengan Molina untuk menjayakan filem Marvel terbaharu yang ditunggu-tunggu peminat itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram