13 tahun dikongkong bapa, Britney Spears akhirnya bebas


  • Hiburan
  • Ahad, 14 Nov 2021

BRITNEY Spears didakwa mengalami masalah kesihatan mental pada tahun 2008. — Agensi

PENYANYI terkenal Britney Spears akhirnya bebas setelah Hakim Mahkamah Los Angeles menamatkan kebenaran hak jagaan daripada bapanya selepas 13 tahun.

"Berkuat kuasa hari ini, hak jagaan terhadap Britney Jean Spears dan aset miliknya dibatalkan," kata Hakim Brenda Penny selepas perbicaraan semula kes tersebut pada Jumaat (12 November).

Jelasnya lagi, individu yang dilantik sebagai penjaga (conservator) ketika ini boleh meneruskan khidmatnya bagi menyelesaikan segala isu kewangan berkaitan kes tersebut.

Sebelum ini, penyanyi berusia 39 tahun itu merayu kepada mahkamah untuk menamatkan arahan tersebut yang telah mengongkong kehidupan peribadi selain aset bernilai AS$60 juta (RM250 juta) miliknya sejak 2008.

Britney tidak menghadiri perbicaraan di mahkamah pada Jumaat, namun peminatnya bersorak di luar pekarangan mahkamah selepas keputusan itu diumumkan selain turut menyanyikan lagu hit penyanyi tersebut ‘Stronger’.

Bapa Britney, Jamie Spears sebelum ini mula memikul tanggungjawab sebagai penjaga selepas menerima arahan mahkamah pada 2008 apabila Britney didakwa mengalami masalah kesihatan mental.

Selepas mendedahkan dia tertekan dengan perintah mahkamah itu, Britney menerima sokongan orang ramai dan melantik seorang peguam bagi menyingkirkan bapanya daripada tugas tersebut.

Secara tidak langsung telah mencetuskan pergerakan #FreeBritney yang sering digunakan di pelbagai platform media sosial oleh penyokong serta peminatnya dari seluruh dunia.

Dalam perbicaraan di mahkamah pada Jun lalu, Britney berkata dia mengalami tekanan dan mahu kehidupannya kembali seperti biasa secepat mungkin. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram