
BARU berkahwin pada 28 Ogos lalu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Cute, Harith Zazman, 27, tidak menjangka yang dia akan bergelar ayah.
Berkongsi mengenai kehamilan isterinya, Nuramalina Ghakashah, Harith berkata mereka pada mulanya tidak membuat sebarang perancangan mengenai masa yang sesuai untuk menimang cahaya mata.
"Masa isteri maklumkan yang dia mengandung itu, memang rasa terkejut sebab memang tak jangka akan mengandung dalam masa terdekat.
"Lagipun doktor pun ada maklumkan sebelum ini yang ada beberapa aspek kesihatan yang boleh mempengaruhi untuk kami menimang cahaya mata.
"Jadi kami pun terima sahajalah dan Alhamdulillah, isteri disahkan hamil. Semuanya berkat doa mereka yang mengenali kami," katanya kepada Majoriti.
SEDUTAN babak video klip terbaharu yang dihasilkan Harith.
Jelasnya, buat masa ini usia kandungan isterinya sudah memasuki tiga bulan dan berada dalam kesihatan yang baik.
Dalam pada itu, Harith juga memberitahu yang dia akan berkongsi mengenai kehamilan isterinya menerusi video klip lagu terbaharunya.
"Sebenarnya video klip itu sudah dilakukan awal dan ada beberapa adegan yang ditambah untuk menampilkan elemen kejutan buat peminat iaitu mengenai kehamilan isteri saya," katanya.
Mengulas mengenai lagu terbaharunya yang berjudul Shut Up, Harith berkata, lagu tersebut ciptaan sepenuhnya daripada dia, Mega, Pique dan Fahimi Rahmat.
Ujarnya, lagu tersebut sudah diperdengarkan sejak 1 Oktober lalu manakala video klip pula akan disiarkan pada Jumaat.
"Untuk MV semua idea datang daripada pengarah, Hafreez Amminuddin atau Freeze. Dia memang nak sesuatu yang berbeza daripada saya. Jadi, itu yang timbul idea alien dan outer space concept.
"Ia mengenai alien couple yang isterinya berasa kurang selamat dengan alien lain tapi suaminya di situ untuk memujuk. Memang ada tarian yang pelik untuk menunjukkan cara si suami memujuk si isteri.
"Apa pun ia pengalaman yang menarik ketika penggambaran dijalankan. Kena tengok betul-betul juga di mana ada babak isteri saya mengandung.
"Ia secara tak langsung nak berkongsi berita gembira ini. Alhamdulillah,” katanya.
Shut Up boleh didengari semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music dan Joox manakala muzik video rasmi ini pula boleh ditonton di saluran YouTube Faithful pada pukul 11 pagi esok.
Selain itu, anda juga boleh sertai cabaran #ShutUpTolongDiam di aplikasi TikTok untuk memenangi hadiah-hadiah menarik seperti pakej ‘movie night’ yang mengandungi barangan ekslusif Shut Up, Kad Hadiah Netflix dan banyak lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram