HARGA premium, selain boleh dibawa pulang. Seramai 34 warga asing yang menawarkan khidmat pelacuran dan pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam operasi gegar di beberapa premis di kawasan Puchong, Kuchai Lama dan ibu kota, Kuala Lumpur pada Isnin.
Kesemua mereka dipercayai menawarkan perkhidmatan itu pada harga premium sekitar RM190 hingga RM240.
KETUA Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sebuah premis hotel bajet di Kuchai Lama yang menjalankan kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing menjadi lokasi operasi pertama.
"Hasil risikan mendapati premis berkenaan dikunjungi pelanggan terdiri daripada warga tempatan kerana harga ditawarkan agak tinggi.
"Pelanggan perlu memilih wanita dan membuat tempahan serta bayaran secara dalam talian terlebih dahulu melalui applikasi Wechat dan Telegram," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau lagi, hasil pemeriksaan di premis itu, pegawai operasi menahan 17 warga asing terdiri daripada tujuh wanita warga Thailand, empat wanita warga Indonesia dan tiga wanita masing-masing warga Myanmar, Laos dan Vietnam disyaki melakukan akitiviti pelacuran.
Selain itu, turut ditahan tiga lelaki warga Myanmar yang juga pekerja dan penjaga premis.
Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, operasi kedua dijalankan di sebuah pusat hiburan di Puchong.
Menurut beliau, lokasi itu dikawal oleh ‘tonto’ sebagai pemberi maklumat kepada pengendali pusat hiburan itu bagi menggagalkan sebarang usaha serbuan daripada pihak berkuasa.
"Bagaimanapun, strategi tonto ini berjaya dipatahkan dengan tindakan taktikal pegawai imigresen yang menjalankan serbuan.
"Semasa serbuan dijalankan, terdapat cubaan melarikan diri dan bersembunyi oleh wanita-wanita warga asing ini," ujarnya.
Jelas beliau lagi, semua tindakan mereka gagal berikutan premis telah dikepung dan jalan-jalan keluar telah dikenal pasti lebih awal oleh pegawai serbuan.
Menurut beliau lagi, hasil pemeriksaan di premis itu, imigresen menahan 16 wanita warga Vietnam disyaki bekerja sebagai GRO dan seorang lelaki warga India yang juga pekerja di premis itu.
"Siasatan awal mendapati premis ini menawarkan GRO sebagai peneman minum dengan bayaran serendah RM50 dan turut menawarkan pakej bawa pulang GRO dengan harga berlainan.
"Antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen," hurainya.
Kongsinya lagi, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa pihak imigresen terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan membanteras aktiviti menyalahi undang-undang terutamanya membabitkan warga asing.
"Tindakan ini penting bagi memastikan usaha kerajaan memulihkan negara daripada kesan pandemik Covid-19 melalui Pelan Pemulihan Negara berjalan lancar," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram