Remaja 13 tahun antara 26 ditahan parti liar di hotel mewah Georgetown


  • 112
  • Ahad, 07 Nov 2021

KESEMUA ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan. — Bernama

KESERONOKAN 26 individu termasuk remaja bawah umur yang sedang leka berhibur dengan alunan muzik kuat dalam parti liar terbantut apabila unit kondominium mewah yang disewa mereka di Georgetown, Pulau Pinang diserbu polis awal pagi Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang telah menyerbu unit kondominium mewah itu pada 1.30 pagi, hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 15 lelaki dan 11 perempuan yang kesemuanya berusia 13 hingga 21 tahun sedang berpesta dengan harga RM500 semalam untuk berhibur di situ.

"Siasatan mendapati kesemua mereka yang terdiri daripada rakan-rakan itu menyewa kondominum tersebut menerusi laman sosial dan wang sewaan dibayar dengan harga RM30 seorang bagi perempuan manakala RM50 seorang bagi lelaki untuk tujuan mengadakan parti liar," katanya pada Sabtu.

Polis turut merampas pelbagai peralatan sistem audio yang diubah suai seperti digunakan pusat hiburan dan kesemua suspek kini ditahan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya dan Peraturan 17(1) Peraturan Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) (No 2) 2021. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram